Siswa UniSIM boleh nikmati TTFS mulai bulan ini

Siswa UniSIM boleh nikmati TTFS mulai bulan ini
The facade of the new extension of SIM and UniSIM (building on left) and You Poh Seng Building (right).

PELAJAR Melayu yang mengikuti programme ijazah sepenuh masa di Universiti SIM (UniSIM) boleh memanfaatkan Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) mulai bulan ini.

Ini diumum Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, dalam satu majlis jamuan tengah hari Aidilfitri di Swissotel Merchant Court semalam.

Semasa mengumum hal itu, Dr Yaacob berkata: "Saya harap anak Melayu kita dapat merebut peluang yang disediakan pemerintah kerana UniSIM telah dipertingkat menjadi universiti penuh, dan ini merupakan satu peluang baik bagi anak-anak kita."

Diperkenal pada 1991, TTFS ialah skim pemerintah yang memberi subsidi yuran khusus bagi pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi.

Ia ditadbir oleh Yayasan Mendaki, yang menentukan kriteria kelayakannya.

Rancangan meluaskan skim tersebut kepada pelajar UniSIM dan Institut Teknologi Singapura (SIT) diumum pada 2012 apabila pemerintah mengumumkan dua institusi itu masing-masing menjadi universiti kelima dan keenam Singapura dan menawarkan programme ijazah sepenuh masa.

Ini bermakna mahasiswa Melayu di kededua universiti tersebut boleh menikmati geran pendidikan itu sama seperti pelajar Melayu di empat universiti setempat lain, iaitu Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

Termasuk dua institusi itu, TTFS kini boleh dimanfaatkan pelajar Melayu di 16 institusi pengajian tinggi tempatan.

Tahun lalu, skim TTFS diluaskan kepada pelajar yang mengikuti programme diploma dan beberapa programme ijazah sarjana muda terpilih di Maktab Seni Lasalle dan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).

Kriteria kelayakan bagi TTFS disemak pada 2012 untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.

Antara lain, kriteria pendapatan per kapita (PCI) bulanan keluarga, yang mengambil kira saiz keluarga, diperkenal. Sebelum ini, ia berdasarkan pendapatan bulanan keluarga sahaja.

Selepas kriteria itu disemak, pelajar daripada keluarga yang mempunyai PCI di bawah $1,000 akan menerima subsidi 100 peratus. Mereka yang mempunyai PCI antara $1,001 dengan $1,200 diberi subsidi 75 peratus, sementara PCI antara $1,201 dengan $1,500 sebanyak 50 peratus.

Ini bermakna sebuah keluarga empat anggota dengan pendapatan bulanan $6,000 layak menerima subsidi 50 peratus kerana PCI mereka ialah $1,500.

Sebelum ini, mereka tidak layak menerima sebarang subsidi kerana jumlah pendapatan bulanan itu melebihi had maksimum yang ditetapkan.

Menurut satu laporan Jun lalu, TTFS yang diagih Mendaki mencapai jumlah tertinggi $30.75 juta tahun lalu, dengan 4,175 pelajar berjaya mendapat subsidi itu.

Majlis jamuan semalam dihadiri sekitar 200 karyawan, wakil pertubuhan Melayu/Islam, kakitangan perkhidmatan awam dan anggota kesatuan sekerja.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

More about

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.