14,000 flat BTO siap tahun ini

14,000 flat BTO siap tahun ini

MENTERI Pembangunan Negara, Encik Khaw Boon Wan, semalam menyaksikan penyerahan blok bagi projek Bina Ikut Tempahan (BTO) Compassvale Ancilla di Sengkang.

Ia sekali gus menandakan penyerahan sebanyak 14,000 unit BTO Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tahun ini.

Jumlah tersebut separuh daripada 28,000 unit yang dirancang diselesaikan pada tahun ini.

Penyerahan blok daripada kontraktor binaan kepada HDB itu menandakan peringkat terakhir bagi proses pembinaan untuk projek tersebut.

Projek BTO Compassvale Ancilla di Sengkang itu merangkumi lebih 1,000 unit, daripada apartmen studio kepada flat lima bilik.

HDB telah meningkatkan programme pembangunannya sejak beberapa tahun lalu bagi memenuhi permintaan perumahan yang semakin bertambah. Tahun lalu, HDB telah mendirikan sebanyak 13,600 flat baru.

Menurut HDB dalam kenyataannya semalam, kebanyakan warga Singapura menyokong usaha memberi keutamaan kepada keluarga yang ingin menetap berdekatan ibu bapa mereka.

Dapatan itu hasil kajian dalam talian yang sedang dijalankan Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Buat masa ini, terdapat beberapa skim seperti Skim Keutamaan Berbilang Generasi (MGPS) dan Skim Keutamaan bagi Anak Telah Berumah Tangga (MCPS) bagi menggalak warga Singapura tinggal bersama atau berdekatan ibu bapa mereka.

Ibu bapa yang ingin menetap berdekatan anak mereka pula boleh memohon mendapatkan apartmen studio di bawah Skim Keutamaan Apartmen Studio (SAPS).

Dalam tulisannya di blog Housing Matters bertajuk 'Keeping Families Closer Together', Encik Khaw berkata skim keutamaan serta kesepaduan studio apartmen bersama jenis flat lain telah dapat membantu pasangan muda dan ibu bapa mereka hidup bersama atau berdekatan satu sama lain.

Beliau berkata topik tersebut turut menjadi tema di sesi Perbincangan Perumahan MND.

"Kebanyakan pasangan dalam sesi perbincangan tersebut telah melahirkan pilihan mendalam bagi menetap dalam bandar atau kejiranan yang sama dengan ibu bapa mereka, sekiranya mereka tidak tinggal bersama. Tugas kami ialah membantu mereka mencapai keinginan mereka," kata beliau.

Compassvale Ancilla, yang bersempadan dengan Sengkang East Road, Sengkang East Avenue dan Sengkang Central, terletak berdekatan stesen MRT Buangkok, stesen LRT Renjong, Compass Point dan Rivervale Mall.

Ia mempunyai 10 blok. Kunci bagi lapan blok itu telah diberi kepada pemilik rumah.

Pembinaan kemudahan komersial yang berdekatan kawasan flat BTO itu juga akan diselesaikan menyusuli penyerahan 10 blok tersebut.

Ini termasuk sebuah pasar raya, sebuah pusat makanan dan pusat jagaaan kanak-kanak, pusat jawatankuasa penduduk dan sebuah pusat kegiatan warga emas.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.