'Bahasa ibunda asas penting dasar dwibahasa'

'Bahasa ibunda asas penting dasar dwibahasa'

BAHASA adalah salah satu cara memahami budaya, warisan dan asal usul kita dan telah menjadi asas dalam dasar pendidikan di Singapura.

Dalam persekitaran berbilang bangsa dan budaya negara ini, ia adalah dasar penting dalam sistem pembelajaran di sini.

Demikian menurut Pemangku Menteri Pendidikan (Sekolah), Encik Ng Chee Meng, ketika berucap dalam majlis jamuan teh bersama penerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) lalu di bangunan Kementerian Pendidikan (MOE), semalam.

Oleh sebab keunikan yang terdapat dalam masyarakat di sini, Encik Ng ingin menerapkan lagi kepentingan mempelajari bahasa ibunda dalam kalangan pelajar.

"Saya mempunyai keinginan menggalakkan penggunaan bahasa, sama ada bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil.

"Sebagai Menteri Pendidikan, saya berpendapat bahawa ia adalah satu asas penting bagi pelajar kita memperkukuh penggunaan kedwibahasaan mereka - iaitu bahasa Inggeris dan bahasa ibunda mereka sendiri," kata beliau.

Beliau memberi contoh bagaimana bahasa Inggeris digunakan sebagai tapak pelancaran bagi perkembangan ekonomi di dunia dan bahasa Melayu pula mampu digunakan untuk mempererat lagi hubungan budaya dan warisan di rantau ini.

Oleh itu beliau amat gembira melihat ramai guru bahasa Melayu berusaha gigih menegakkan bahasa dalam pembelajaran para pelajar - sejajar dengan visi Arif Budiman yang telah dilakarkan.

Setiausaha Parlimen (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang turut hadir dalam majlis itu, berkata: "Arif Budiman mempunyai makna yang istimewa yang merangkumi sifat-sifat seorang guru yang cemerlang.

"Oleh itu, seorang guru yang merangkumi kualiti Arif Budiman adalah seseorang yang mempunyai pengalaman pendidikan dalam menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Ini juga menjadi antara cita-cita kami mewujudkan aspirasi ini dalam kalangan pelajar kita di bawah sistem pembelajaran yang membangunkan nilai dan juga menitik berat peluang pelajar," kata Dr Faishal.

Seramai 32 penerima AGAB lalu diundang untuk berinteraksi dengan Encik Ng dan Dr Faishal serta Timbalan Pengarah, Cawangan Bahasa Ibunda, Jabatan Perancangan dan Pembangunan Kurikulum (CPDD), Encik Zafilin Abdul Hamid, dalam satu sesi dialog.

Mereka telah mengongsi dan mengetengahkan pandangan mengenai cara meningkatkan pembelajaran bahasa Melayu.


This article was first published on April 22, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.