Bandar selesa didiami, Tanah Air Disayangi

Bandar selesa didiami, Tanah Air Disayangi

SATU keutamaan pemerintah ialah terus meningkatkan dan mengubah perumahan awam Singapura.

Menerusi Program Peningkatan Rumah (HIP), Kementerian Pembangunan Negara (MND) akan melaksanakan projek pemugaran ke atas estet HDB lama - merangkumi 100,000 flat dalam tempoh tiga tahun mendatang.

Selain itu, MND juga berhasrat membantu pasangan dan ibu bapa mereka tinggal bersama atau berdekatan, agar mereka dapat menjaga satu sama lain dan memberikan sokongan.

Pemerintah juga akan memastikan kediaman dan estet HDB mesra warga tua, dan meningkatkan kemudahan bagi golongan tersebut.

Pelan tersebut sebahagian daripada usaha pemerintah membangunkan sebuah bandar yang selesa didiami, dan tanah air yang disayangi.

Ia juga merupakan tema yang terkandung di dalam Adendum kepada Amanat Presiden yang didedahkan kepada media semalam. Penduduk Singapura bakal menikmati lebih banyak taman, terusan air dan kemudahan budaya serta sukan.

Pemerintah akan meluaskan rangkaian penghubung taman (PCN) dan membina Laluan Sekeliling Pulau - iaitu sebuah koridor riadah sepanjang 150 kilometer yang menghubungkan penduduk Singapura kepada taman dan tempat menarik di serata pulau.

Matlamat Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) ialah agar hampir kesemua penduduk Singapura tinggal dalam lingkungan 400 meter daripada sebuah taman; berada dalam lingkungan 10 minit perjalanan kaki ke sebuah kemudahan sukan dan riadah; dan permudahkan akses kepada pusat seni dan budaya serta warisan setempat.

MNDjuga akan menyokong inisiatif yang dijalankan penduduk bagi menjadi pemangkin kepada ikatan dan perhubungan sosial.

MND akan memulihara bangunan dan tempat istimewa yang mempunyai kepentingan sejarah dan seni bina serta ingatan sosial yang kuat.

Dalam usaha mewujudkan bandar yang selesa didiami, pemerintah akan membuat banyak pelaburan bagi menambah kapasiti sistem pengangkutan awam dan meningkatkan mutu perkhidmatan.

Dalam tempoh tiga tahun akan datang Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menambah laluan baru bagi meningkatkan rangkaian rel negara sebanyak 25 peratus.

MOT akan meningkatkan sistem isyarat bagi laluan lama beroperasi pada waktu yang lebih singkat dan menambah lagi 83 kereta api agar memendekkan waktu menunggu.

Pada masa yang sama, ia akan membangunkan kepelbagaian kepada pilihan pengangkutan.

Ini termasuk membina laluan berjalan kaki tertutup serta rangkaian laluan berbasikal serata pulau sepanjang lebih 700 kilometer.

Pemerintah juga akan menggalakkan cara alternatif kepada pemilikan kenderaan - seperti skim perkongsian kereta bagi memenuhi keperluan golongan yang memerlukan kenderaan pada sesuatu masa - dan menjadikan bandar ini di mana pemilikan sebuah kereta bukan menjadi satu keperluan.

Pemerintah akan memanfaatkan teknologi baru, termasuk penderia seperti kamera video; rangkaian fiber dan tanpa wayar; teknologi robotik seperti kenderaan tanpa pemandu, dan penduduk menggunakan telefon bijak, bagi menjadikan Singapura Negara Bijak.

Ia bagi mewujudkan kehidupan bandar lebih selesa dan menghijau, perkhidmatan awam lebih berkesan dan lebih banyak peluang bagi perhubungan penduduk.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.