Bangga lihat Kolam Air Kranji kini bersih

Bangga lihat Kolam Air Kranji kini bersih
BERJASA PADA NEGARA: Encik Waris (kiri) dan Encik Mohd Hanef sama-sama telah menyumbang kepada pembangunan negara sejak usia muda lagi.

SENYUMAN lebar dan rasa bangga terpapar di wajah Encik Mohd Hanef Fadel setiap kali beliau melihat Kolam Air Kranji.

Apakan tidak, kolam air yang dahulu dipenuhi keladi bunting itu kini bersih tanpa sebarang pencemaran. Namun, apa yang lebih membanggakan, kebersihan kolam air itu dapat diraih hasil kerja keras dan titik peluh Encik Mohd Hanef dan kumpulannya.

Demikian antara detik manis yang tidak dapat dilupakan Encik Mohd Hanef, 66 tahun, sepanjang kerjayanya bersama agensi air kebangsaan, PUB, selama 51 tahun.

Beliau antara lebih 550 kakitangan generasi perintis dan tetamu yang dikumpulkan Kementerian Sekitaran dan Sumber Air; agensi air kebangsaan, PUB; dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu majlis jamuan di Hotel Orchard Rabu lalu.

Majlis makan tengah hari yang diacarakan Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Dr Vivian Balakrishnan, memberi penghargaan kepada kakitangan generasi perintis atas sumbangan mereka ke atas pembangunan negara.

"Alhamdulillah, saya gembira jasa kami semua dihargai. Mereka menghargai dengan apa yang kita telah lakukan selama ini," kata Encik Mohd Hanef yang telah bersara pada Mei lalu.

Bahkan, bukan hanya Encik Mohd Hanef seorang saja yang berkhidmat di PUB. Empat generasi keluarganya - datuk, bapa, beliau sendiri dan anaknya - semua bertugas di PUB.

Tradisi itu dimulakan oleh datuk beliau, Encik Morasan Marhaman, yang bertugas dengan Majlis Perbandaran Singapura di sebuah stesen pam air dan diikuti ayahnya, Encik Fadel Monadi, yang bertugas dengan Majlis Bandar Singapura sebagai tukang kebun yang menanam pokok di tepian Kolam Air Seletar.

Anak beliau sendiri, Encik Mohammad Marhan, 36 tahun, pula bertugas sebagai pegawai teknikal.

Menurut Encik Hanef, beliau mula bertugas di PUB sebagai seorang pekerja yang membuat pelbagai tugas sebelum menjadi seorang penghantar sampel air pada usia 15 tahun.

Beliau kemudian dipindahkan bertugas dengan syarikat Binnie & Partners bagi membantu jurutera dalam pembangunan sebuah empangan di Kolam Air Seletar pada 1969.

Tugasnya tersebut diteruskan bagi pembinaan empangan di Kolam Air Upper Peirce sebelum beliau kembali bertugas dengan PUB di Kolam Air Kranji sebagai formen pada 1976.

Dek usahanya melalui kursus peningkatan yang dibiayai PUB, Encik Mohd Hanef kemudian dinaikkan pangkat sebagai pegawai teknikal kanan.

Mengimbas kembali, Encik Mohd Hanef berkata bahawa terdapat banyak kenangan sepanjang beliau bertugas dengan PUB, namun antara yang tidak dapat beliau lupakan adalah semasa bertugas di Kolam Air Kranji.

"Ketika itu, kolam airnya tak macam kolam air. Di sekelilingnya ada rumah kampung dan kolam air penuh dengan keladi bunting.

"Jadi kita gunakan bot tunda tolak keladi bunting ke satu kawasan supaya ia semua boleh diangkat. Selepas rumah kampung semua dipindahkan, datang pula masalah lain seperti orang cuba tangkap ikan dalam kolam, jadi kami akan mengendap pada sebelah malam lihat siapa yang cuba memancing," kata beliau.

Encik Hanef berkata beliau berasa terharu dan gembira kakitangan generasi perintis seperti beliau diberi penghargaan dan berharap generasi Singapura akan datang akan terus menjaga dan menghargai sekitaran negara ini.

"Harapan saya bagi generasi akan datang adalah menjaga negara ini dengan baik, jaga kebersihan air supaya ia dapat dinikmati semua dan Singapura terus dikenali dunia sebagai negara paling bersih," kata beliau.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

More about

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.