'Bank kerja' padankan calon dan majikan

'Bank kerja' padankan calon dan majikan

PENDUDUK setempat kini boleh mencari pekerjaan menerusi satu laman pekerjaan baru yang dilancarkan semalam.

Laman www.jobsbank.gov.sg itu dilancarkan Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA) demi membantu memadankan majikan dengan para pekerja warga Singapura dan penduduk tetap (PR).

Pelancaran laman itu dirasmikan Menteri Tenaga Manusia, Encik Tan Chuan-Jin, sempena acara kerjaya Jobs Bank di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (Lifelong Learning Institute) di Paya Lebar.

Laman Jobs Bank pertama kali diumumkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tahun lalu.

Dalam ucapannya, Encik Tan berkata banyak majikan mahu membangunkan teras Singapura dalam tenaga kerja mereka, namun mendapati ia sukar mencari warga Singapura yang sesuai.

Pada masa yang sama, warga Singapura yang sedang mencari pekerjaan pula memberi maklum balas bahawa terdapat kesukaran dalam mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

Justeru, Encik Tan berkata sedang pemerintah mencipta pelbagai peluang pekerjaan dalam ekonomi, namun pada masa yang sama satu cara yang lebih baik dan sistematik diperlukan bagi memadankan pekerja kepada pekerjaan.

"Jobs Bank akan melengkapi usaha pemerintah yang sedia ada menyediakan satu lagi wadah bagi penduduk Singapura meneroka dan memohon peluang pekerjaan, dan pada masa yang sama membolehkan majikan mencapai kumpulan calon setempat yang lebih besar," kata beliau.

Sementara itu, sejak laman versi beta itu diperkenalkan Mei lalu, lebih 4,300 majikan dan 12,900 individu telah mendaftar untuk memanfaatkan Jobs Bank.

Lebih 16,000 peluang pekerjaan kini ditawarkan di laman itu, dengan sekitar separuh daripadanya disasarkan kepada golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME).

Warga Singapura dan PR, yang mempunyai akaun SingPass, boleh mendaftar bagi akaun Jobs Bank untuk memuat naik atau mengisi resume pekerjaan, sekali gus membolehkan resume mereka itu dipertimbangkan para majikan.

Majikan pula boleh mengiklankan pekerjaan kosong, menerima permohonan pekerjaan dan resume serta mencari dan memilih calon dalam pangkalan data calon portal laman terebut.

Dalam pada itu, WDA juga telah mendekati portal pekerjaan swasta untuk meneroka peluang kerjasama.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.