Beg berjenama juga dikenakan GST

Beg berjenama juga dikenakan GST

JIKA anda membeli barangan melebihi nilai $600 untuk dibawa masuk ke Singapura, meskipun anda melancong lebih daripada dua hari atau lebih 48 jam, pastikan anda menggunakan 'Laluan Merah' semasa di pusat imigresen.

Ini kerana anda perlu membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas barangan tersebut.

Menurut laman Kastam Singapura, GST tetap dikenakan ke atas barangan yang dibeli di luar negara.

"Ini kerana GST adalah cukai ke atas penggunaan setempat, bukan pembelian setempat. Ini bermakna GST dikenakan ke atas barangan yang digunakan di Singapura, tanpa mengira sama ada ia dibeli di luar negara atau di kedai-kedai setempat," jelas kenyataan itu.

Hujung minggu lalu, para pegawai kastam di Lapangan Terbang Changi telah merampas lebih 10 kotak berisi beg berjenama mewah daripada seorang wanita berusia 29 tahun yang baru pulang bercuti bersama keluarganya dari Eropah.

Beg dengan jenama Chanel, Louis Vuitton dan Miu Miu itu dianggar bernilai ribuan dolar dan wanita yang tidak dinamakan itu dipercayai tidak membayar GST.

Semua barangan, tidak kira sama ada melalui penghantaran komersial atau dibawa masuk dengan tangan oleh pelancong, tertakluk kepada GST sebanyak 7 peratus meskipun untuk penggunaan sendiri atau ia dibawa bagi pihak orang lain.

"Ingatlah bahawa barangan yang anda bawa bagi pihak orang lain turut dianggap sebagai milik anda juga dan perlu dimasukkan sekali semasa menghitung jumlah nilai keseluruhan barangan anda," tambah kenyataan dalam laman web itu mengenai GST yang diperkenalkan pada 1 April 1994 dan kini genap 20 tahun.

Kastam Singapura mengeluarkan seganda lebih banyak amaran dan denda tahun lalu berbanding 2012 ke atas mereka yang gagal mengisytiharkan pembelian barangan dari luar negara yang wajar dicukai di sini.

Ia mengeluarkan 398 amaran dan denda dikenali sebagai jumlah wang komposisi tahun lalu kepada mereka yang tidak mengisytiharkan barangan yang dibeli di luar negara dengan nilai melebihi pelepasan GST sebanyak $150 dan $600.

Pada tahun 2012 pula terdapat 179 kes.

Kes-kes itu termasuk kes pertama kali, pesalah berulang dan barangan yang melalui pusat pemeriksaan darat, udara dan lautnya.

GST tetap perlu dibayar ke atas barang yang dibawa masuk walaupun cukai penjualan asing telah dilunasi lebih awal. Ini kerana barangan tersebut akan digunakan di sini. Jika tiada resit seiringannya, nilai barang tersebut akan ditentukan berdasarkan barang yang serupa dengannya.

Pelepasan cukai dibenarkan ke atas barangan tidak melebihi $600 bagi tempoh dua hari atau 48 jam berada di luar negara.

Ini bermakna jika anda berada di luar negara selama seminggu dan membeli barangan bernilai $500, anda tidak perlu membayar GST kerana tidak melebihi $600.

Jika sepanjang tempoh itu, pembelian anda mencecah $800, anda perlu membayar cukai berdasarkan nilai $200 selepas pelepasan GST atau($800 - $600 = $200).

Jika tempoh anda berada di luar Singapura kurang daripada 48 jam pula, pelepasan cukai hanya $150.

Semua barang itu hanya untuk kegunaan sendiri dan anda perlu menggunakan Laluan Merah semasa berada di kastam, temui pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang bertugas bagi mengisytiharkan barangan yang anda bawa, nilainya serta pembayaran GST-nya.

Kegagalan mengisytiharkan nilai pembelian anda adalah satu kesalahan di bawah Akta Kastam dan Akta GST. Pesalah boleh didakwa di mahkamah, dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga $10,000 dan dipenjara sehingga tiga tahun.


This article was first published on December 23, 2014.
Go to beritaharian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.