CNB pergiat perang ke atas anasir dadah

CNB pergiat perang ke atas anasir dadah

LEBIH ramai anak muda berusia 30 tahun ke bawah diberkas atas kesalahan menyalahgunakan dadah.

Justeru, Biro Narkotik Pusat (CNB) bertindak menggandakan usaha menyebarkan mesej antidadah kepada golongan tersebut.

Menerusi Unit Pendidikan Pencegahan (PEU), biro itu merintis strategi mendekati gologan sasaran berbeza dengan pelbagai kaedah.

Antaranya ialah mengadakan ceramah, pameran, peraduan dan sketsa bagi pelajar sekolah rendah dan menengah, serta sesi perkongsian dan forum teater bagi pelajar pascamenengah dan kumpulan berisiko tinggi.

CNB melaksanakan programme tersebut dengan kerjasama badan seperti Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), institusi pendidikan tinggi dan pertubuhan setempat.

Dalam Laporan Keadaan Dadah dari Januari hingga Jun lalu, biro itu mendedahkan 67 peratus atau dua pertiga pesalah dadah berusia 30 tahun ke bawah.

Ini merupakan kenaikan 2 peratus berbanding enam bulan pertama 2013.

Sejak 2011, jumlah pesalah baru daripada golongan belia merangkumi sekitar dua pertiga jumlah keseluruhan pesalah baru yang diberkas.

Meskipun peningkatannya kecil, CNB berkata jika tidak ditangani awal, pesalah muda ini akan membentuk generasi penagih dadah masa depan.

Menurut CNB, antara faktor yang menyumbang kepada CNB merancakkan usaha memerangi anasir dadah itu ialah maklumat mengenai penyalahgunaan dadah yang mudah didapati di Internet, langkah sesetengah negara membenarkan penggunaan dadah seperti ganja dari segi undang-undang dan usaha mempromosikan sesetengah dadah sebagai bermanfaat kepada penggunanya.

"Golongan muda hari ini juga semakin berfikiran liberal dan menganggap mereka mampu berhenti menggunakan dadah pada bila-bila masa sahaja," kata jurucakap CNB.

Lantas, usaha PEU penting.

Bagi pelajar sekolah rendah dan menengah, CNB menggabungkan mesej pencegahan dan pendidikan, selain melibatkan masyarakat dalam projek-projeknya.

"Tujuannya ialah membangunkan daya tahan dan menerapkan nilai serta sikap yang betul supaya belia boleh katakan tidak kepada dadah," tambah jurucakap itu.

Pendekatan berbeza pula digunakan bagi para pelajar pascamenengah dan belia berisiko.

Bagi golongan tersebut, selain membangunkan daya tahan, CNB memberi tumpuan memaparkan kepalsuan mengenai dadah yang diketengahkan sesetengah pihak.

CNB juga memanfaatkan media sosial termasuk Facebook, YouTube dan Instagram untuk menyebarkan mesej antidadah.

Biro itu juga memperkenal aplikasi iPhone, iChoozeLife, yang mengetengahkan maklumat mengenai kesan dadah yang memudaratkan.

Dalam pada itu, antara usaha CNB tahun ini ialah pertandingan dansa DanceWorks! yang menggalak gaya hidup bebas dadah.

Acara tersebut menyasarkan belia di bawah usia 25 tahun.

Mereka turut melancarkan blog LiveItLoud.SG untuk mendidik belia mengenai bahaya dadah.

Tahun ini, CNB memperkenal juga persembahan forum teater yang disasarkan kepada pelajar pascamenengah.

Pada enam bulan pertama tahun ini, sejumlah 16 persembahan sedemikian telah dipentaskan kepada lebih 8,000 belia.

Menurut CNB, maklum balas yang diterima menunjukkan 94 peratus orang muda memahami kesan dan hukuman serius` penyalahgunaan dadah.

"Gaya persembahan bantu menyebarkan mesej antidadah menerusi cara berkesan. Ini disebabkan mesej itu disampaikan secara terus- terang dan begitu juga akibat penyalahgunaan dadah.

"Cara seperti ini turut menggalak penyertaan para peserta kerana mereka terdorong berkongsi pandangan mengenai dadah dan penyalahgunaan dadah secara terbuka," tambah jurucakap itu.

Ibu bapa yang ingin mengetahui petanda penyalahgunaan dadah boleh melayari laman CNB. Biro itu juga telah menyediakan bahan rujukan antidadah untuk ibu bapa di laman www.cnb.gov.sg/ cnbpde/parents/default.aspx.

nhadi@sph.com.sg

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.