Contohi sumbangan cemerlang Yusof Ishak

Contohi sumbangan cemerlang Yusof Ishak

MASYARAKAT Melayu/Islam boleh mengambil iktibar daripada sumbangan dan pencapaian Presiden pertama Allahyarham Yusof Ishak untuk terus mencapai kecemerlangan.

Inspirasi dan motivasi juga dapat diraih daripada pencapaian individu cermerlang yang disebut Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Rapat Hari Kebangsaan kelmarin.

Demikan antara pandangan beberapa pemimpin masyarakat tentang inti pati ucapan Perdana Menteri yang menyentuh masyarakat Melayu di rapat itu.

Setiausaha Parlimen Kesihatan merangkap Pengangkutan, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata masyarakat masa kini dan masa depan perlu tahu akan sumbangan Allahyarham kepada negara.

"Sikapnya yang progresif dan berpandang depan serta komitmennya kepada Singapura perlu dicontohi.

"Kita dan generasi masa depan perlu mempelajari dan mengambil iktibar nilai-nilai murni Allahyarham," kata Dr Faishal.

Lantas tiga inisiatif untuk mengiktiraf jasa Allahyarham Yusof, yang diumumkan Encik Lee dalam rapat kelmarin patut dialu-alukan, kata Dr Faishal.

Tiga inisiatif itu ialah menamakan sebuah masjid yang sedang dibina atas nama Yusof Ishak, mengukir namanya bersama Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) menjadi Iseas- Institut Yusof Ishak; dan mewujudkan Kerusi Profesor Yusof Ishak dalam Sains Sosial di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Dr Intan Azura Mokhtar, berpendapat perubahan nama Iseas mencerminkan peri penting jalinan hubungan dengan negara serantau.

"Semasa hayatnya Allahyarham pernah diberi anugerah oleh kerajaan Malaysia dan Brunei," ujar Dr Intan.

Beliau menambah kerusi Profesor Yusof Ishak di NUS pula menandakan sumbangan Allahyarham kepada masyarakat - sebagai wartawan dalam awal kerjayanya dan sebagai Presiden Republik Singapura.

"Diharapkan, dengan pengiktirafan ini, masyarakat kita terutama generasi muda boleh terus meraih inspirasi agar mencapai tahap lebih tinggi sebagaimana yang telah dilakukan Encik Yusof - mencapai kecemerlangan sebagai pelajar, olahragawan, wartawan dan negarawan," kata Dr Intan.

Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Profesor Madya Dr Fatimah Lateef, berkata pengiktirafan kepada Allahyarham Yusof Ishak bertepatan dengan usaha pemerintah menyanjung jasa anggota perintis.

"Perdana Menteri juga menekankan, setiap orang yang menyumbang dan bekerja keras layak diberi pengiktirafan yang adil tidak kira apa bangsa, apa latar belakang," kata Dr Fatimah.

Selain itu, Perdana Menteri turut membuat pengiktirafan penting tentang kemajuan Masyarakat Melayu/Islam.

Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zaqy Mohamad, memerhatikan: "Dengan menukil kisah-kisah Melayu yang cemerlang seperti bilangan siswazah yang mendapat ijazah kepujian kelas pertama dan juga kisah Encik Abu Bakar yang berjaya maju biarpun berpendidikan politeknik, Perdana Menteri telah mengiktiraf pencapaian masyarakat Melayu/Islam."

Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan itu, Encik Lee mendedahkan bahawa seramai 35 siswazah Melayu/Islam meraih ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama daripada universiti setempat tahun ini.

Beliau juga mengumumkan usaha pemerintah tentang penekanan menghargai setiap individu berdasarkan sumbangannya dan bukan hanya kelayakannya.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.