Duit zakat tidak digunakan bagi belanja operasi Muis

Duit zakat tidak digunakan bagi belanja operasi Muis

PERBELANJAAN operasi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) tidak dibiayai menerusi dana zakat.

Ia dibiayai menerusi Dana Endowmen Umum, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Menjawab soalan Encik Zainal Sapari (GRC Pasir Ris-Punggol) di Parlimen semalam, Dr Yaacob berkata dana tersebut mempunyai beberapa sumber pendapatan, termasuk hartanah, warisan dan pendapatan pelaburan, serta bayaran bagi perkhidmatan seperti pensijilan halal.

"Dana zakat bukan sebahagian daripada Dana Endowmen Umum dan dikira berasingan," kata beliau.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata jumlah zakat yang dikumpulkan pada 2013 ialah $28.4 juta.

Pengumpulan zakat bagi tahun lalu belum lagi dipastikan menerusi audit.

Menurut Dr Yaacob, dana zakat yang dikumpul disalurkan kepada pengagihan, peruntukan programme dan perkhidmatan, dan kos operasi untuk khidmat kepada benefisiari mengikut lapan asnaf yang ditetapkan di bawah syariah.

Sekitar $11 juta atau 40 peratus dana zakat diagihkan kepada golongan memerlukan menerusi bantuan kewangan langsung dan programme pemerkasaan pada 2013.

Program pemerkasaan menyediakan campur tangan menyeluruh bagi penerima zakat untuk memperbaiki daya pekerjaan dan menimba kemahiran kehidupan lain.

Pada 2013, Muis telah membantu 5,263 keluarga menerusi bantuan kewangan langsung.

Muis juga melaksanakan sebuah Skim Pengupayaan Sepadu (EPS) yang bertujuan membantu keluarga penerima zakat supaya mereka tidak terus bergantung pada bantuan.

Sejak skim itu dimulakan pada 2004, sebanyak 595 daripada 847 keluarga telah selesai mengikuti skim itu dan tidak lagi memerlukan bantuan kewangan Muis.

Sebanyak 40 peratus lagi zakat digunakan bagi menyokong masjid dan madrasah menerusi geran, programme dan pembiayaan bagi latihan guru madrasah, pegawai keagamaan masjid, sukarelawan dan pegawai pembangunan belia pada 2013, kata Dr Yaacob.

"Baki zakat telah digunakan bagi dakwah dan pendidikan awam, pembangunan pendidikan Islam, dan pembiayaan pentadbiran amil serta bantuan bagi mualaf," kata beliau.

Dr Yaacob berkata kejayaan dalam pengumpulan dana zakat disebabkan dua faktor - masyarakat Melayu semakin mewah dan kesedaran mengenai bagaimana dana zakat digunakan.

Beliau berkata Muis akan terus menyemak skim zakat demi memastikan tiada keluarga berpendapatan rendah terkecuali daripada skim itu.

"Kami akan memastikan tiada keluarga Islam yang memerlukan akan terkecuali. Kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu mereka sebaik mungkin," kata beliau.

Dalam jawapannya kepada soalan Encik Zainudin Nordin (GRC Bishan-Toa Payoh) pula, Dr Yaacob berkata dana zakat melengkapi skim bantuan nasional yang ada.

Namun, beliau berkata Muis akan terus membantu keluarga yang memerlukan sekiranya mereka tidak layak menerima skim bantuan nasional.

Ditanya Encik Muhamad Faisal Manap(GRC Aljunied) sama ada dana zakat diagihkan sepenuhnya setiap tahun, Dr Yaacob berkata Muis mungkin tidak dapat mengagih dana itu sepenuhnya dalam setahun, namun wang yang dikumpulkan itu akan disimpan dalam dana zakat.


This article was first published on January 30, 2015.
Go to beritaharian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.