Faishal: Guru bahasa Melayu perlu jiwa keusahawanan

Faishal: Guru bahasa Melayu perlu jiwa keusahawanan
GERAI ILMU: Murid Sekolah Rendah Park View (dari kiri) Elina Norhisham, Siti Zahra Fahrudin dan Muhammad Izz Matiin Yakob menunjukkan bahan pembelajaran kepada Dr Muhammad Faishal Ibrahim (jaket hitam) yang ditemani Pengarah MLCS, Encik Mohd Noh Daipi (kanan) dalam ‘Seminar Bahasa Melayu 2016’, semalam.
PHOTO: Berita Harian

GURU Bahasa Melayu pun boleh menggarap ciri-ciri keusahawanan.

Demikian seruan Setiausaha Parlimen (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim ketika merasmikan 'Seminar Bahasa Melayu 2016', bertemakan 'Menjana Inovasi, Memarak Inspirasi' di Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), pagi semalam.

Seminar dengan ucaptama Profesor Madya Dr Dahlia Janan, Timbalan Dekan Bahasa dan Perhubungan Universiti Pendidikan Sultan Idris itu dihadiri 520 guru.

Para guru itu kemudian menyertai sejumlah bengkel perbincangan 48 kertas kajian pengajaran dan pembelajaran.

"Untuk menjana semangat keusahawanan, guru perlu mempunyai semangat memperluas ilmu dan kemahiran dengan harapan menjadikan sekolah kita dipenuhi dengan rakan guru yang berkelayakan, penuh ihsan, budiman dan berkesan," ujarnya.

Beliau menampilkan tiga cara:

Pertama, melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan - seiring gerakan SkillsFuture atau Kemahiran Masa Depan dan falsafah pembelajaran sepanjang hayat;

Kedua, guru boleh menerapkan dan menggunakan ilmu atau kemahiran yang diraih daripada pelbagai programme pembangunan profesional untuk diserlah dalam bilik darjah, dan

Ketiga, berkongsi ilmu dan kepakaran.

Dr Faishal berharap guru Bahasa Melayu dapat membentuk komuniti optimis lagi berdaya cipta demi menjayakan penyuburan bahasa Melayu.

Pesan beliau: "Saya ingin memberikan jaminan bahawa pemerintah akan terus menyokong usaha menggalakkan penggunaan bahasa Melayu.

"Ini adalah usaha bersama kerana kita mahu anak-anak kita tidak kekok berbahasa Melayu. Kita mahukan anak-anak kita tahu dan boleh menghayati budaya kita.

"Saya percaya bahawa seseorang yang berbudaya dan berbahasa ibunda dapat membangunkan sebuah masyarakat yang berjaya."

Beliau turut melancarkan tiga penerbitan MLCS - Pembelajaran Bahasa Melalui Pantun, Penggunaan Bahasa Figuratif dalam Penulisan Karangan dan CITRA, sebuah antologi cerpen bagi pelajar sekolah menengah.

Pengarah MLCS Akademi Guru Singapura, Encik Mohd Noh Daipi, telah menyusur pencapaian institusi pimpinannya sejak enam tahun ia ditubuhkan.

"Pada awal tahun ini, kami mendapatkan lapor balik daripada 460 guru bahasa Melayu... Dapatan yang kami terima amat positif," katanya.

Jumlah guru bahasa Melayu di Singapura sekitar 1,300 orang. Lebih 2,600 guru (dua kali ganda) telah memanfaatkan khidmat MLCS. Umumnya, lebih sembilan daripada 10 guru yang ditinjau amat bersetuju dengan bahan, bengkel atau kursus atau pendekatan MLCS dalam melengkapi jurus profesionalisme guru bahasa Melayu.

Ketika menyampaikan makalahnya, Kajian dan Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Bahasa, Dr Dahlia menegaskan peri pentingnya guru arif mengenai erti dan proses membaca yang melibatkan gerak mata dan pencernaan mental.

"Kajian menunjukkan murid mendapati dua kali lebih sukar menyerap makna kata nama berbanding kata tugas," hujah penerima doktor falsafah daripada Universiti Warwick dan penerima anugerah tesis terbaik daripada Persatuan Literasi United Kingdom pada 2012 itu.

Dalam sesi soal jawab, Dr Dahlia berkata belum ada usaha mengumpulkan senarai kata minimum yang perlu dikuasai bagi membolehkan seseorang selesa bertutur bahasa Melayu.

Usaha sedemikian sudah dilakukan bagi sejumlah bahasa dunia, termasuk Inggeris.


This article was first published on March 16, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.

Purchase this article for republication.

BRANDED CONTENT

SPONSORED CONTENT

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.