Gan: Pemegang pelan insurans bersepadu swasta tidak akan rugi

Gan: Pemegang pelan insurans bersepadu swasta tidak akan rugi
Health Minister Gan Kim Yong.

WARGA Singapura yang sekarang ini di bawah pelan perlindungan insurans swasta (IP) tidak akan rugi apabila MediShield Hayat diperkenalkan tahun depan, kata Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong.

Malah, mereka akan turut meraih manfaat daripada skim insurans nasional itu yang antara lain memberi mereka perlindungan sepanjang hayat.

Mereka juga boleh membuat tuntutan bagi penyakit sedia ada, yang sebelum ini mungkin dikecualikan di bawah IP yang ditawarkan syarikat insurans swasta masing- masing.

"Ini akan memberi jaminan kepada warga Singapura bahawa mereka akan terus dilindungi insurans di peringkat asas, walaupun mereka mempunyai pengecualian bagi lindungan IP atau jika mereka hentikan polisi itu," ujar Encik Gan.

Beliau berkata demikian sewaktu perbahasan MediShield Hayat di Parlimen semalam.

Sekitar dua dalam tiga warga Singapura mempunyai IP.

Encik Gan akur ramai warga Singapura ingin tahu bagaimana IP mereka akan terjejas dengan pelaksanaan MediShield Hayat.

IP yang ditawarkan syarikat insurans swasta mempunyai dua komponen. Ini merangkumi komponen asas MediShield, yang menawarkan perlindungan berdasarkan bayaran bagi wad B2 dan C; serta komponen tambahan yang menawarkan perlindungan dipertingkat bagi wad lebih tinggi atau hospital swasta.

Premium IP yang dikumpul syarikat insurans juga dibahagi kepada dua komponen - komponen MediShield itu akan disalurkan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang mentadbir skim itu; dan bakinya disimpan syarikat insurans sebagai premium bagi komponen tambahan.

Apabila MediShield Hayat dilaksanakan, ia akan menggantikan komponen MediShield sedia ada.

Encik Gan berkata sebelum ini bahawa kenaikan premium IP disebabkan MediShield Hayat dijangka sama atau lebih rendah berbanding kenaikan bagi premium MediShield Hayat sahaja.

Pemerintah juga akan bekerjasama dengan syarikat insurans swasta membangunkan ciri-ciri satu pelan standard yang memberi perlindungan bagi wad kelas B1.

Ini memberi satu lagi pilihan mudah difahami kepada warga Singapura yang ingin manfaat tambahan kepada pelan asas MediShield Hayat yang disasarkan bagi kelas B2 dan C.

Semalam, Encik Gan turut menyentuh keprihatinan warga Singapura yang mungkin sedang mempertimbangkan mahu menghentikan IP mereka.

"Mereka patut pertimbang dahulu cita rasa mereka, dan merancang perlindungan insurans mereka berdasarkan keperluan dan kemampuan mereka bagi jangka masa panjang," ujar Encik Gan.

Ramai warga Singapura membeli IP apabila mereka masih muda dan bekerja, dan masih mampu membayar premium IP yang lebih rendah bagi golongan lebih muda, katanya lagi.

Namun, ada yang mungkin mendapatinya sukar membayar premium apabila lanjut usia, khususnya setelah bersara.

Encik Gan berkata pilihan membeli IP ialah satu pilihan peribadi yang mungkin bergantung kepada peringkat usia, tahap khidmat penjagaan kesihatan yang diinginkan, dan kedudukan kewangan.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

More about

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.