Garis pandu NWC seimbang kehendak kesatuan sekerja, majikan, pemerintah

Garis pandu NWC seimbang kehendak kesatuan sekerja, majikan, pemerintah

GARIS pandu terkini Majlis Gaji Kebangsaan (NWC), biarpun hampir serupa dengan saranan yang dikemukakan tahun lalu, adalah saranan berhati- hati dan seimbang.

Berhati-hati kerana ia tidak memaksa tetapi sekadar memberi garis pandu.

Jika majikan dipaksa membayar gaji melebihi apa yang dimampui, mereka mungkin terpaksa gulung tikar dan pekerja akan turut menanggung kesannya. Garis panduNWCjuga seimbang kerana ia mengambil kira perspektif kesatuan sekerja, majikan sektor swasta dan pemerintah, yang berbeza dan ada kala bersaing.

Justeru saranan NWC wajar diterima. NWC antara lain menyarankan supaya majikan memberi kenaikan gaji sekurang- kurang $60 kepada pekerja berpendapatan bawah $1,000 setiap bulan; sebarang kenaikan gaji sebenar harus setanding dengan pertumbuhan daya penghasilan bagi jangka panjang; dan majikan juga digalak berkongsi keuntungan yang diraih daripada peningkatkan daya penghasilan bersama pekerja.

Pendek kata, NWC terus memberi ruang kepada majikan memutuskan cara terbaik memberi ganjaran kepada pekerja masing- masing.

Namun, NWC mengambil pendirian yang lebih kukuh bagi menjaga kepentingan pekerja bergaji rendah; oleh itu ia menetapkan kenaikan gaji minimum bagi golongan tersebut, dan memang begitu.

Presiden Persekutuan Majikan Nasional Singapura (Snef), Encik Stephen Lee, berkata tanpa peningkatan produktiviti, kenaikan kos gaji itu tidak dapat dikekalkan.

"Jika kos gaji meningkat lebih pantas daripada produktiviti, daya saing syarikat akan terjejas dan kenaikan kos gaji itu terpaksa dialihkan kepada pengguna,'' jelas Encik Lee.

Melihatkan sekitaran persaingan perniagaan yang semakin sengit, pasaran buruh yang semakin ketat, saranan NWC kali ini boleh disifatkan sebagai langkah berhati- hati dan seimbang.

Firma setempat dijangka menanggung beban kos lebih besar apabila kadar sumbangan majikan untuk Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dinaikkan.

Mulai tahun depan, majikan dikehendaki menambah sekurang-kurangnya 1 peratusan mata kepada akaun CPF pekerja.

Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), terdapat 117,500 warga dan penduduk tetap (PR) Singapura yang bekerja sepenuh masa dan mendapat gaji bulanan asas sebanyak $1,000 atau lebih rendah tahun lalu, berbanding 150,000 pada 2012.

Jika majikan memberikan kenaikan gaji sebanyak $60 kepada setiap pekerja dalam golongan tersebut, kos majikan akan bertambah sekitar $7 juta setiap bulan.

Pasaran buruh yang ketat juga membuat majikan pening kepala.

Tanpa kenaikan gaji yang wajar, pekerja akan 'lari' dan mencari kerja di tempat lain.

Oleh itu, lebih ramai majikan perlu melaksanakan garis pandu NWC.

Tahun lalu kurang enam daripada 10 firma tempatan mematuhi garis pandu NWC.

Biarpun kadar itu lebih baik berbanding tiga daripada 10 firma yang melaksanakan garis pandu NWC pada 2012, lebih ramai majikan perlu melaksanakannya.

Majikan juga perlu memikirkan rangka gaji adil mengikut daya penghasilan setiap pekerja.

Mereka juga boleh melaksanakan ganjaran bukan gaji seperti sistem kerja fleksibel, insentif seperti peluang ke luar negara dan pemberian hadiah kepada pekerja contoh.

Lebih ramai pekerja berpendapatan rendah perlu diberi kenaikan gaji agar mereka dapat menyara kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) telah berusaha meningkatkan siling gaji pekerja bergaji kurang $1,000 kepada $1,100 atau $1,200, agar lebih ramai pekerja dapat menikmati kenaikan gaji seperti yang disaran NWC.

Tetapi ia tidak dapat mencapai kata sepakat dengan para majikan yang bertanya sama ada garis panduan itu perlu.

Justeru, firma yang lebih mampu harus memberikan kenaikan gaji lebih tinggi kepada pekerja bergaji rendah dan tidak semestinya hanya kepada mereka yang bergaji $1,000 atau kurang sebulan.

Pekerja pula tidak seharusnya berpeluk tubuh dan harapkan kenaikan gaji yang ketara setiap tahun.

Pekerja perlu membantu majikan mengurangkan kos dan meningkatkan daya penghasilan.

Dalam sekitaran ekonomi masa kini, peranan NWC kekal relevan kerana garis pandu yang dikeluarkan berguna bagi majikan dan pekerja demi memastikan gaji di negara ini kekal kompetitif dan selaras dengan pertumbuhan ekonomi.

Persaingan ekonomi di Singapura amat sengit dan sebagai antara bandar yang paling mahal dunia, hakikat itu bukan hanya menjejas kos hidup golongan berpendapatan rendah malah turut menjejas golongan pertengahan.

Pokoknya majikan dan pekerja harus akur akan hakikat perniagaan masa kini.

Dengan adanya kerjasama, semua pihak akan dapat meraih manfaatnya.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.