Graduan Melayu digesa sumbang semula kepada masyarakat

Graduan Melayu digesa sumbang semula kepada masyarakat

GRADUAN Melayu/Islam perlu memikirkan bagaimana mereka boleh menyumbang semula bukan sahaja kepada masyarakat Melayu malah masyarakat Singapura yang lebih luas.

Ini terutama sekali menjelang sambutan ulang tahun negara yang ke-50 (SG50) tahun depan. Sumbangan itu boleh berbentuk perkongsian idea dan visi dalam pembangunan Singapura bagi masa mendatang, ujar Menteri bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam merangkap Penerangan dan Perhubungan, Dr Yaacob Ibrahim.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas Majlis Jamuan Teh untuk lulusan politeknik dan universiti di Hilton Hotel, anjuran Kelab Mendaki.

Dr Yaacob akur bahawa selepas lulus daripada politeknik atau universiti, para graduan akan tertumpu pada fasa kehidupan seterusnya.

Namun, pada masa yang sama, mereka perlu memupuk semangat membantu dan kesediaan menyumbang semula kepada masyarakat lebih luas, bukan sekadar dalam masyarakat Melayu/Islam sahaja.

Dr Yaacob juga berharap dapat melihat lebih ramai karyawan Melayu/ Islam menyumbang kepada sambutan SG50 tahun depan.

"Ini satu peluang kaum belia tampil memberi sumbangan pada peringkat nasional. Bagaimana mereka boleh menyumbang dari segi masa depan, apakah visi kita untuk negara dan bagaimana kita boleh mencapai visi itu," ujarnya.

Dr Yaacob berkata mereka boleh bekerjasama dengan jawatankuasa SG50 yang bakal diterajui Encik Salim Kadir.

"Sebagai contoh, saranan saya ialah kita boleh mengadakan satu bengkel atau seminar untuk berkongsi idea dan berfikir bersama visi dan apakah yang boleh dilakukan untuk kebaikan seluruh negara kita.

"Inilah satu-satunya peluang kita sebagai masyarakat minoriti yang sudah lama meraih manfaat daripada Singapura, menyumbang kembali pada peringkat nasional," jelasnya.

Mengulas tentang gesaan Dr Yaacob itu, Presiden Kelab Mendaki, Encik Jeffrey Salleh, berkata Kelab Mendaki boleh memainkan peranan dalam sambutan SG50.

"Kami mempunyai struktur sokongan yang boleh dimanfaatkan. Kami sedang menimbangkan secara serius penglibatan kami dalam sambutan SG50. Buat masa ini, kami belum ada rancangan tertentu tetapi kami akan mencari rakan kerjasama," katanya.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.