Guna akaun persaraan bayar rumah: Menteri jelaskan

Guna akaun persaraan bayar rumah: Menteri jelaskan

PENCARUM masih berupaya membayar pinjaman perumahan mereka dengan simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) walaupun selepas berumur lebih 55 tahun, kata Menteri Tenaga Manusia, Encik Tan Chuan-Jin, di Parlimen semalam.

Ini kerana satu dalam sepuluh pencarum CPF yang berumur 55 tahun ke atas masih menggunakan simpanan CPF mereka bagi membayar ansuran bulanan perumahan.

Hanya satu dalam 20 pula perlu menggunakan wang tunai bagi membayar ansuran bulanan mereka, kata Menteri Tenaga Manusia, Encik Tan Chuan-Jin, di Parlimen semalam.

"Bagi pencarum yang menghadapi masalah dengan pinjaman perumahan mereka, kita bersikap fleksibel sekiranya terdapat alasan wajar dan membenarkan mereka memanfaatkan Akaun Persaraan bagi perumahan walaupun sekiranya mereka tidak mempunyai separuh Jumlah Minimum," jelas Encik Tan.

Beliau mendedahkan bahawa secara purata 500 rayuan diterima setiap tahun daripada pencarum yang berumur 55 tahun ke atas yang mahu memanfaatkan Akaun Persaraan bagi perumahan.

Daripada jumlah itu, dua pertiga rayuan telah diluluskan.

Bagi rayuan yang ditolak, pihaknya akan bekerja rapat dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi meneroka pembiayaan alternatif atau pilihan perumahan lain.

Namun Encik Tan menolak saranan Cik Irene Ng (GRC Tampines) yang meminta supaya pencarum dibenarkan menggunakan Akaun Persaraan secara automatik bagi perumahan.

"Ini kerana beberapa pencarum berupaya melunaskan pinjaman perumahan mereka menerusi wang tunai. Selain itu, kita tidak mahu menggalak pembelian yang terburu-buru dan kurang berhemat bagi perumahan hingga menyebabkan mereka fikir mereka boleh gunakan secara automatik simpanan Akaun Persaraan bagi membiayai pinjaman mereka," jelas Encik Tan lagi.

Dalam pada itu, Encik Tan berkata sekitar 15 peratus pencarum memanfaatkan hartanah bagi mengikrarkan sehingga separuh Jumlah Minimum (MS) pada tahun lalu.

Beliau memberi perangkaan itu bagi menunjukkan bahawa, bertentangan dengan apa yang mungkin dipercayai beberapa pihak, hanya separuh Jumlah Minimum perlu diketepikan dengan menggunakan wang tunai.

Tahun lalu, 50 peratus pencarum yang mencapai umur 55 tahun berupaya memenuhi Jumlah Minimum.

Ini termasuk mereka yang tidak mempunyai simpanan yang mencukupi dalam CPF lantas mengikrarkan perumahan mereka bagi memenuhi keperluan itu, selain mereka yang tidak memenuhi keperluan itu tetapi mengikrarkan hartanah mereka supaya mereka dapat mengeluarkan separuh simpanan CPF mereka setelah mengetepikan Jumlah Minimum.

Mengenai Jumlah Minimum, Encik Tan berkata jumlah khusus adalah berdasarkan kohort.

"Apabila ia ditetapkan bagi kohort tertentu, ia tidak akan diubah," jelasnya lagi.

Sebagai contoh, Jumlah Minimum bagi mereka yang mencapai umur 55 tahun antara Julai 2014 dan Jun 2015 ialah $155,000.

Ia lebih tinggi berbanding $148,000 yang ditetapkan bagi mereka yang mencapai umur 55 tahun, tahun lalu - tetapi kuantum tidak berubah bagi kohort lebih tua.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.