Hubungan dengan Malaysia baik, dengan Indonesia perlu dibaiki semula

Hubungan dengan Malaysia baik, dengan Indonesia perlu dibaiki semula

HUBUNGAN pertahanan dengan Malaysia adalah sangat baik, namun dengan Indonesia, proses mengembalikan keyakinan dan kepercayaan perlu dibuat ekoran insiden penamaan kapal perang Indonesia yang mempunyai kesan ke atas hubungan kededua pihak tempoh hari.

Demikian dinyatakan Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, apabila ditanya Berita Harian mengenai tahap perhubungan pertahanan yang dikecapi Singapura dengan jiran terdekatnya.

"Bagi Malaysia, hubungan pertahanan kami adalah sangat baik. Saya telah beberapa kali bertemu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudin, dan berbual secara berterus terang tentang cabaran kami dan bagaimana kita boleh melangkah ke depan dengannya. "Kesemua tiga perkhidmatan kami (Udara, Darat, Laut) mempunyai pertukaran dua hala, dan ada yang berdekad lamanya, dan kami bertemu dalam latihan ketenteraan," kata Dr Ng.

Tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang memerlukan bantuan Singapura secara spontan, tambah Dr Ng. Pesawat itu terputus hubungan pada 8 Mac lalu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang dalam pesawat, dan dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi.

Menurut Dr Ng, kerajaan Malaysia termasuk tentera udaranya telah pun melahirkan penghargaan ke atas penglibatan dan sumbangan Singapura dalam usaha mencari pesawat tersebut, justeru hubungan "adalah baik dan kami perlu mengekalkannya dan mencari peluang untuk berbuat demikian," kata Dr Ng.

Mengenai Indonesia, Dr Ng mengulangi kenyataan yang dibuatnya di Parlimen berkenaan insiden penamaan kapal perang Indonesia, Usman Harun, bahawa hubungan pertahanan kededua pihak bergantung kepada saling menghormati dan mempercayai.

Frigat terbaru Indonesia itu dinamakan sempena dua marin - Osman Mohamed Ali dan Harun Said - yang mengebom bangunan MacDonald House di Orchard Road pada 1965.

Kedua-duanya telah dihukum mati di Singapura pada 1968, namun mereka diisytiharkan sebagai wira di Indonesia.

Hubungan ketenteraan antara Singapura dengan Indonesia tergenjot apabila Indonesia memaklumkan keputusan menamakan frigat terbarunya sempena dua marin itu pada Februari lalu.

Menurut Dr Ng, Singapura akan memulakan proses membina semula hubungan tersebut dan mengambil langkah-langkah kecil memupuk keyakinan dan kepercayaan antara kededua pihak, dan Singapura jelas sekali berhasrat mempunyai hubungan pertahanan yang baik dengan Indonesia.

"Membina semula hubungan yang terjejas ekoran sesuatu kegenjotan bergantung kepada bagaimana membina kepercayaan dan saling menghormati.

"Jika kami dapati adanya keyakinan di dalam perhubungan dan kepercayaan bahawa hubungan tersebut adalah berdasarkannya, saya fikir banyak yang boleh kita lakukan," kata Dr Ng.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.