Industri bas awam dirombak bagi pertingkat khidmat

Industri bas awam dirombak bagi pertingkat khidmat

PEMERINTAH telah merombak industri bas awam dalam usaha memperbaiki perkhidmatan bas mulai pertengahan tahun ini.

Di bawah Model Kontrak Pemerintah itu, pemerintah akan memiliki semua prasarana bas awam seperti bas, depoh dan pusat pertukaran bas.

Pemerintah akan turut menentukan rangkaian khidmat bas yang diperlukan penumpang dan meraih pendapatan daripada tambang bas.

Namun, operasi khidmat bas akan ditawarkan kepada firma swasta tempatan atau antarabangsa, yang dipilih menerusi proses tender.

Pengendali akan menerima bayaran daripada pemerintah bagi khidmat yang dijalankan.

Tender khidmat bas juga akan dibuka kepada pengendali antarabangsa.

Perubahan dasar itu terkandung dalam Adendum Amanat Presiden yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan semalam.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), model baru itu berbeza daripada model sedia ada, dengan kini pengendali bas swasta bertanggungjawab menyediakan prasarana bas dan menjalankan operasi.

"Sekarang, pengendali swasta menghadapi masalah mempertingkat khidmat dan keupayaan, kerana mereka perlu meraih keuntungan daripada pendapatan tambang untuk membiayai pelaburan prasarana dan kos operasi.

"Akibatnya mereka tidak akan menawarkan khidmat jika ia tidak menguntungkan," kata LTA.

Di bawah model baru, pemerintah bertanggungjawab atas prasarana bas. Ini membolehkannya membuat keputusan dengan cepat - sama ada menawarkan khidmat baru atau menambah bilangan bas, bergantung kepada keperluan penduduk.

Pengendali swasta pula tidak perlu memikirkan tentang kos pelaburan prasarana yang tinggi. Mereka kelak boleh tumpukan usaha memberi khidmat kepada penumpang, contohnya, memastikan keselesaan penumpang dan bas tiba ikut jadual.

Model baru juga diharap dapat menggalak persaingan. Pelan jangka panjang ialah bagi industri bas awam mempunyai antara tiga dengan lima pengendali, berbanding dua pengendali masa kini.

Penumpang bas juga boleh menjagka lebih banyak khidmat bas di lebih banyak tempat dengan masa menunggu lebih singkat. Sebelum ini, LTA telah mengkaji model bas awam di London dan Australia, yang didapati berjalan lancar.

Pada 2012, pemerintah memperkenal Program Peningkatan Khidmat Bas (BSEP) untuk mempertingkat khidmat.

Tahun lalu, LTA juga mencuba model baru dengan menawarkan Khidmat Langsung ke Bandar (CDS) dan Perkhidmatan Singkat Waktu Sibuk (PPSS).

Ia kini ingin memperluas model baru itu secara bertahap dengan menawarkan tiga pakej khidmat bas kepada pengendali swasta - yang pertama pada separuh kedua tahun ini.

Ketiga-tiga pakej tersebut merangkumi 20 peratus khidmat bas sedia ada, dan baki 80 peratus khidmat akan terus dikendalikan dua pengendali sedia ada.

LTA akan berunding dengan pengendali sedia ada untuk mengendalikan baki khidmat bas, mengikut model baru, selepas Lesen Pengendali Khidmat Bas (BSOL) tamat pada 31 Ogos 2016.

Selain itu LTA turut melahirkan keprihatinan tentang kebajikan pekerja industri bas awam yang mungkin terjejas akibat perubahan dasar. Sehubungan itu, ia sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti kesatuan sekerja dan pengendali bas, demi melindungi kepentingan pekerja.

Satu kumpulan kerja diterajui Menteri Negara Kanan Pengangkutan, Cik Josephine Teo, akan menangani usaha tersebut.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.