ISIS tidak penuhi syarat negara khalifah

ISIS tidak penuhi syarat negara khalifah
Ustaz Suhaimi Hassan (kanan) dari Masjid Darul Aman dan Encik Shahril Nizam Ahmad (kedua dari kanan) sedang memberi Religious Rehabilitation Group (RRG) risalah di masjid pada 14 November 2014.

NEGARA Islam Iraq dan Syria (ISIS), sebuah kumpulan militan pelampau, telah menggugat perhatian dunia sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Tindakan mereka yang kejam dan ganas, termasuk membunuh tawanan dan kumpulan minoriti etnik secara beramai-ramai, perhambaan seksual wanita dan gadis serta pemancungan kepala askar dan wartawan, telah mencetuskan rasa takut dan kemarahan di seluruh dunia.

Kita juga telah menyaksikan sejumlah warga asing di kalangan anggotanya - daripada anak remaja perempuan sehinggalah karyawan muda.

Mereka telah menyertai ISIS dengan penuh yakin pada matlamatnya menubuhkan sebuah negara Islam di seluruh daerah Levant.

SIAPAKAH ISIS?

Sebagai cabang daripada Al-Qaeda di Iraq, ISIS telah melalui beberapa perubahan pada namanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kumpulan militan itu telah menamakan dirinya Negara Islam Iraq (ISI); Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL); dan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS). Ia merujuk kepada dirinya sebagai Negara Islam (IS) pada 29 Jun 2014.

Kumpulan itu juga mengisytiharkan Abu Bakr Al-Baghdadi sebagai khalifah dan wilayah di bawah jajahannya sebagai negara Islam berkhalifah. Matlamat awal kumpulan itu ialah menubuhkan sebuah negara Islam di kawasan yang terdapat ramai Sunni di Iraq.

Namun, sejak itu matlamat tersebut telah dikembangkan bagi merangkumi kawasan ramai Sunni di Syria menyusuli penglibatan kumpulan itu dalam perang saudara Syria.

Baghdadi dan kumpulan pelampaunya ibarat tanpa haluan yang jelas.

KECAMAN DARIPADA CENDEKIAWAN

Lebih daripada 120 ulama Islam di seluruh dunia telah menolak kekhalifahan Baghdadi dan mengutuk kekejaman yang dilakukan ISIS menerusi satu surat terbuka yang diedarkan pada akhir September lalu.

Ulama memutuskan bahawa konsep negara Islam berkhalifah tidak sah melainkan jika ia ditubuhkan dengan persetujuan daripada umat Islam.

Surat itu yang ditujukan kepada Baghdadi juga menyenaraikan pelbagai pencabulan prinsip Islam yang dilakukan ISIS.

Pencabulan itu termasuk bagaimana ISIS telah terlalu mempermudahkan perkara yang berkaitan dengan Syariah, mengabaikan ilmu dan prinsip Islam yang sudah lama termaktub dalam mengeluarkan fatwa, menggunakan kekerasan bagi mencapai matlamat mereka dan gagal mengikut prosedur, menunjukkan belas kasihan dan memastikan keadilan apabila menjalankan hukuman.

ISIS telah mencemari ajaran, nilai dan prinsip Islam. Islam menggalakkan perkara seperti kedamaian, kesederhanaan dan belas kasihan.

Ia mengiktiraf kepentingan pendidikan, keadilan dan kebenaran.

Lebih dekat, Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah mengisytiharkan ISIS sebagai haram. Di Singapura, Pergas (Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura) telah mengeluarkan kenyataan media mengutuk tindakan pengganas ISIS.

Pergas juga menegaskan bahawa masyarakat Islam setempat tidak harus menyokong atau bersimpati dengan ISIS atau perjuangan kumpulan itu.

Pendek kata, ISIS mendakwa bahawa matlamatnya adalah menubuhkan sebuah negara Islam. Namun, jika kita merisik lebih dalam, kita akan mendapati bahawa itu merupakan satu alasan mudah yang digunakan bagi menarik orang Islam yang tidak tahu apa-apa agar menyokong perjuangan ganas mereka.

Mereka semata-mata merupakan satu kumpulan militan yang berjuang bukan untuk agama tetapi demi mencapai cita-cita mereka daripada segi wilayah dan politik.

MESEJ ISLAM

Nabi Muhammad saw diutus Tuhan Yang Maha Esa sebagai rahmat kepada dunia Baginda telah menegaskan bahawa rahmatnya merangkumi semua, jauh lebih besar daripada kemurkaan- Nya.

Dalam hal ini, perang dan taktik ISIS yang ganas sama sekali bertentangan dengan prinsip Islam yang menyeru kepada kedamaian dan belas kasihan. Mereka telah melakukan 'rompakan besar' atas nama Islam dan mencemarkan imej serta mesej keamanan dan toleransi di seluruh dunia. Beribu-ribu nyawa yang tidak berdosa telah terkorban di bawah pemerintahan ISIS. ISIS jelas tidak peduli ini dilarang di bawah undang- undang Islam.

Undang-undang Islam menetapkan bahawa sesiapa yang mengambil nyawa seseorang tanpa sebab yang jelas, dia ibarat telah membunuh seluruh umat manusia. Sebaliknya, jika ada sesiapa menyelamatkan nyawa seseorang, dia ibarat telah menyelamatkan seluruh umat manusia (Al-Quran, Al-Maidah: 32).

ISIS telah bermaharajalela dan secara terang-terangan membunuh jiwa tidak bersalah yang bukan pejuang dan tidak mampu membela diri.

Bandingkan keadaan ini dengan Nabi Muhammad saw yang tidak membunuh mereka yang tidak bersetuju dengannya.

Baginda juga tidak membenarkan mereka dibunuh.

BEBERAPA CIRI NEGARA ISLAM BERKHALIFAH

Istilah khalifah secara harfiah bererti 'pengganti' tetapi ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada penguasa Islam yang menjaga hal ehwal politik dan agama sesebuah masyarakat Islam. Sebuah wilayah atau negara di bawah pemerintahan khalifah dikenali sebagai negara Islam berkhalifah. ISIS telah mencemari ideologi Islam dan memutarbelitkan prinsip Islam.

Islam menggalakkan keamanan, kesederhanaan dan belas kasihan.

• Kehidupan bersama secara aman di kalangan rakyat berbilang agama. Warga bukan Islam yang berada di bawah kuasa Muslim tidak dipaksa memeluk Islam.

• Penguasa Islam yang menunjukkan kerendahan hati dan kewarakan. Mereka memaparkan diri mereka sebagai hamba mulia yang berkhidmat kepada rakyat.

• Penguasa Islam yang mempunyai ilmu yang mantap dan mendalam tentang Islam, yang mereka sendiri telah menghabiskan sebahagian hidup mereka belajar tentang agama ini. Para penguasa ini lantas dapat memerintah dengan bijaksana dan menawan hati dan minda rakyat mereka.

• Keterbukaan kepada idea.

Para khalifah terdahulu terbuka kepada idea dan maklumat bagi memperbaiki kehidupan rakyat mereka dan berusaha menggalakkan kemajuan bukan sahaja dalam mengembangkan wilayah mereka, bahkan dalam bidang ekonomi, sosial dan intelektual yang akan terbukti bermanfaat untuk masa depan.

Dr Rusydi 'Alyan, di dalam bukunya Al-Islam wa al-Khilafah, telah menekankan ciri penting bagi seseorang khalifah yang dipilih: • Mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang hukum Syariah dan arif tentang ehwal politik dan pentadbiran pemerintah. • Bersikap adil, berbudi luhur, berwibawa, matang dan waras.

Khalifah juga bertanggungjawab mempertahankan kesucian agama dan mewujudkan satu sistem tadbir urus yang adil, progresif, boleh diterima di peringkat antarabangsa dan berbudi luhur.

Beliau harus menganggap sebagai tugasnya melindungi orang Islam dan bukan Islam.

ISIS akan mempunyai kesukaran memenuhi syarat sebuah negara berkhalifah sebagaimana yang dipaparkan para Khalifah Islam terdahulu.

ADAKAH ISIS BENAR-BENAR NEGARA ISLAM YANG AKAN MENGHIDUPKAN KEMBALI SISTEM PENTADBIRAN ISLAM?

Pelbagai kekejaman ISIS telah banyak dilaporkan dalam media massa.

• Kekejaman kumpulan itu dan penggunaan kekerasan mencemari penekanan Islam pada kasih sayang, rasa hormat dan kewujudan bersama secara damai. • Cara ISIS mengeluarkan dan melaksanakan undang- undang hukum Islam dan menjatuhkan hukuman boleh dipersoal.

Tidak jelas sama ada mereka mempunyai barisan ulama di kalangan mereka yang benar-benar ahli dalam keilmuan Islam bagi mengeluarkan dan melaksanakan fatwa tersebut.

• Kumpulan itu tampak lebih cenderung mengembangkan wilayah mereka daripada berkhidmat kepada rakyat dalam negeri yang mereka jajah dalam bidang yang penting - misalnya, pendidikan, peruntukan kerja dan mendirikan prasarana asas.

• ISIS telah membawa perpecahan di kalangan umat Islam (antara golongan sederhana dengan pelampau) dan membesarkan jurang perbezaan antara mereka.

• ISIS telah menyalahgunakan agama Islam. Mereka bertindak menakut-nakutkan dunia dengan kezaliman mereka dan durjana dalam pendekatan mereka.

KEDATANGAN PELAMPAU

Nabi Muhammad saw telah menyebut dalam hadisnya tentang kedatangan pelampau sedemikian. • Daripada Abu Hurairah, Nabi berkata: "... maka akan datang manusia yang menipu dunia dengan agama, menipu orang ramai dengan memakai kulit lembut kambing biri-biri, lidah mereka lebih manis daripada gula dan hati mereka ialah hati serigala."

• Nabi mengatakan bahawa mereka akan sampai ke satu zaman apabila si pembunuh tidak akan tahu mengapa dia membunuh dan mereka yang tewas tidak akan tahu mengapa mereka kehilangan nyawa mereka.

Akan datang satu masa apabila para pelampau akan bangkit.

Terdapat pelbagai kumpulan pelampau pada masa lalu dan hari ini kita melihatnya dalam bentuk ISIS.

Oleh itu, adalah penting anda bersikap lebih berhati- hati apabila membaca tentang apa yang ISIS galakkan dan percayai, supaya anda tidak dipengaruhi idea pelampau mereka.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

More about

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.