Jumlah penagih sudah datang Melayu berkurangan

Jumlah penagih sudah datang Melayu berkurangan

KENAIKAN jumlah penagih dadah Melayu baru "membimbangkan", walaupun jumlah keseluruhan penagih Melayu berkurangan dari Januari hingga Jun lalu, kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Beliau juga berkata walaupun jumlah keseluruhan penagih berulang dan baru Singapura berkurangan dalam tempoh itu - berbanding tempoh sama tahun lalu - "banyak lagi yang perlu diusahakan".

Situasi dadah sejagat juga kekal mencabar, dengan pengeluaran dadah seperti heroin dan candu meningkat semula ke paras tahun-tahun lalu.

Encik Masagos berkata demikian semasa mengulas tentang perangkaan dadah enam bulan pertama tahun ini yang dikeluarkan Biro Narkotik Pusat (CNB) semalam.

Jumlah keseluruhan penagih dadah yang diberkas di Singapura dalam tempoh itu berkurangan kepada 1,524 orang, daripada 1,893 sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Bilangan keseluruhan penagih Cina berkurangan daripada 655 kepada 452 (31 peratus); Melayu 922 kepada 822 (11 peratus); dan India 283 kepada 228 (19 peratus).

Namun, sedang jumlah penagih Cina dan India baru berkurangan, masing-masing daripada 198 kepada 126 (36 peratus), dan 81 kepada 60 (26 peratus), penagih Melayu baru pula bertambah 11 peratus - daripada 253 kepada 280.

Menyifatkan pertambahan itu membimbangkan, Encik Masagos berkata: "Kebanyakan mereka penagih lebih muda. Masyarakat kita telah bekerja keras selama ini untuk melindungi belia daripada terjebak dalam kancah dadah.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat kita kerana telah memainkan peranan dalam usaha memerangi dadah.

"Namun, sedang situasi dadah serantau kian buruk dan ada negara kalah dalam perang terhadap penyalahgunaan dadah, kita harus sentiasa berwaspada dan terus mendidik belia kita bagi memastikan mereka faham bahaya penyalahgunaan dadah dan menjauhinya."

Perangkaan CNB juga menunjukkan dua pertiga daripada keseluruhan penagih baru yang diberkas pada Januari hingga Jun lalu berusia kurang 30 tahun, berbanding 65 peratus sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Menurut Encik Masagos, penagih muda di bawah 30 tahun cenderung mengambil dadah seperti methamphetamine, atau Ice, dan ganja, yang mereka silap tanggap sebagai kurang membuat seseorang ketagih. Mengenai situasi dadah sejagat yang kekal mencabar, beliau berkata Bahan Psikoaktif Baru (NPS), iaitu bahan yang diubah suai agar menyerupai kesan dadah terkawal, telah mula dijual dalam pasaran.

Bahan itu dipromosikan sebagai selamat dan sah dari segi undangundang, tetapi media luar negara telah melaporkan tentang kematian akibat mengambilnya.

Selain itu, langkah membuat ganja sah dari segi undang-undang di beberapa negara mengukuhkan gambaran ia "kurang bahaya".

"Ini salah faham besar. Tiada dadah kurang bahaya. Seseorang itu tidak boleh mencuba-cuba dadah dan menyangka dia tidak akan ketagih," tegas Encik Masagos, sambil menggesa ibu bapa, keluarga dan masyarakat memainkan peranan mereka dalam usaha memerangi dadah.

Antara perkara lain yang ditunjukkan perangkaan CNB ialah: 92 peratus penagih mengambil heroin dan Ice, sementara 5 peratus mengambil ganja; dan nilai keseluruhan dadah yang dirampas berkurangan 50 peratus kepada $4.7 juta.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

More about

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.