Kebanyakan boleh bayar penuh guna Medisave

Kebanyakan boleh bayar penuh guna Medisave

WARGA Singapura bergaji rendah akan melihat premium tahunan skim insurans nasional MediShield Hayat, yang akan bermula tahun depan, naik tidak lebih daripada sekitar $132 setahun.

Mereka yang bergaji tinggi pula tidak akan melihat premium naik lebih daripada sekitar $360 setahun.

Generasi perintis pula akan membayar premium lebih rendah berbanding skim Medi- Shield sekarang.

Bagi generasi perintis yang berusia 80 tahun ke atas tahun ini, mereka tidak perlu keluar wang sendiri kerana premium itu akan dibiayai sepenuhnya menerusi subsidi dan tokokan Medisave di bawah Pakej Generasi Perintis.

Bahkan, kebanyakan warga, tua mahupun muda, tidak perlu keluarkan wang tunai sendiri untuk membiayai pelan asas MediShield Hayat kerana mereka boleh membayar premium itu menerusi Medisave. Kenaikan 1 peratus sumbangan majikan kepada Medisave akan membantu pekerja membiayai kenaikan premium mereka. Kementerian Kesihatan (MOH) semalam mengeluarkan jadual premium MediShield Hayat yang perlu dibayar oleh setiap golongan umur warga Singapura, setelah menerima laporan daripada Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat.

Pada 2015, premium ialah $5 hingga $105 sebulan, atau $60 hingga $1,258 setahun. Pada 2019, premium $8 hingga $128 sebulan, atau $96 hingga $1,530 setahun. Premium itu berubah-ubah setiap tahun bergantung pada jumlah subsidi yang layak diterima pelbagai lapisan masyarakat.

Semua warga, tidak kira gaji mereka, akan menerima subsidi peralihan selama empat tahun untuk membantu menyesuaikan diri bagi kenaikan premium.

Golongan gaji rendah hingga pertengahan atas pula akan menerima subsidi tambahan setiap tahun.

Sehingga dua pertiga isi rumah warga Singapura akan layak menerima subsidi sehingga 50 peratus.

Mereka yang mendiami rumah yang nilai tahunan (AV) lebih tinggi akan menerima subsidi yang berkurangan.

Penduduk Tetap (PR) bergaji rendah dan pertengahan juga akan terima subsidi, tetapi mereka tidak mendapat subsidi peralihan yang dikhaskan bagi warga Singapura.

Mereka yang mempunyai penyakit sedia ada pula perlu bayar 30 peratus lebih tinggi daripada orang lain selama 10 tahun pertama kerana risiko mereka lebih tinggi.

Yang tidak mampu membayar meskipun setelah diambil kira semua subsidi, akan menerima bantuan tambahan daripada pemerintah, setelah setiap kes itu ditimbangkan secara individu.

Dalam sidang media semalam, jawatankuasa ditanya mengenai kenaikan premium selepas 2019.

Pengerusi jawatankuasa itu, Encik Bobby Chin, berkata beliau berharap premium akan kekal pada tahap sama sekurang-kurangnya hingga 2019.

Namun, seperti MediShield sekarang, premium disemak setiap tiga hingga lima tahun untuk mengambil kira inflasi dan perubahan teknologi perubatan.

"Yang pasti, pemerintah telah memberi komitmen untuk memastikan tiada warga Singapura akan terlepas daripada perlindungan MediShield Hayat.

"Bantuan akan tetap diberikan kepada generasi perintis, golongan bergaji rendah dan pertengahan," ujar Encik Chin.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

 

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.