Kos tinggi bagi pemandu keluar masuk JB bermula?

Kos tinggi bagi pemandu keluar masuk JB bermula?

BERMULA hari ini para pemandu dijangka membayar tol sebanyak RM9.70 ($3.80) apabila memasuki Johor Bahru dan RM6.80 ($2.65) apabila keluar dari negeri itu menggunakan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Bagi mengurangkan beban tol baru itu, Johor kini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat bas ekspres untuk menghantar pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura di beberapa lokasi seperti di Boon Lay dan Jurong.

Langkah Johor itu dibuat sedang beberapa warga Singapura yang kini menetap di Johor Bahru menimbang dengan mendalam kemungkinan pulang ke Singapura kerana enggan menanggung kos lebih tinggi itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan Johor sedang menimbangkan aturan baru itu berikutan keprihatinan yang disuarakan pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura.

"Dengan perkhidmatan ini, orang ramai tidak perlu memandu menyeberangi Tambak Johor untuk bekerja. Dengan cara ini, mereka tidak perlu membayar tol," jelasnya kepada akhbar The Star semalam.

Bagi bas dan teksi, masing-masing perlu membayar RM13.30 dan RM8.20 bagi setiap perjalanan dua hala.

Pemeriksaan Berita Harian (BH) di CIQ Bangunan Sultan Iskandar Johor Bahru semalam mendapati bahawa pegawai imigresen Malaysia sedang siap memasang kain rentang memaklumkan mengenai perubahan itu di Lebuh Raya Eastern Dispersal Link (EDL).

BH difahamkan bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dijangka memberi respons hari ini mengenai kenaikan kadar tol yang baru itu.

LTA sebelum ini berkata pemerintah Singapura belum menerima "sebarang komunikasi" daripada pihak berkuasa Malaysia mengenai perubahan tol itu tetapi telah meminta "pengesahan rasmi" mengenai laporan media.

"Jika memang ada tol baru, atau kenaikan kadar tol, di Koswe, pemerintah Singapura akan sepadankan tol baru itu dan kenaikan kadar tol itu dalam masa terdekat," kata LTA sebagai respons kepada pertanyaan media.

Memang menjadi amalan pemerintah Singapura menambatkan kadar tol di Koswe dan Laluan Kedua pada kadar yang ditetapkan oleh Malaysia, mengikut kadar tukaran mata wang, tambah LTA.

Seorang pembaca BH, Encik Zuraimi Jumaat, 42 tahun, pengurus pembangunan perniagaan antarabangsa di United World Halal di Singapura, yang menetap di Bandar Baru Uda berkata keluarganya kini memikirkan dengan mendalam kemungkinan kembali ke Singapura.

"Saya dah dengar dah keluhan "kami mungkin nak jual rumah JB.... Tak tahan laah... naik balik Spore"," jelas Encik Zuraimi yang dihubungi semalam.

"Mari kita tengok apa yang mungkin berlaku hari ini. Motosikal mungkin berlambak, pengangkutan awam riuh rendah, bas pula lambat, mungkin kita terpaksa jalan kaki.

"Sekiranya menggunakan kereta, satu hari RM16.50 bagi satu perjalanan ulang-alik ke Singapura. Sekiranya 30 hari, jumlahnya dah mencecah RM495.

Sekiranya LTA mengenakan kadar yang sama, kosnya boleh mencecah RM1,000 sebulan.

"Dah bayar banyak gini... kalau Koswe macam gitu juga, sesak tiap-tiap hari... nampaknya bungkus tikar bantal dan balik "kampung"," jelasnya lagi.

azahar@sph.com.sg


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.