Luas usaha terang faedah Pakej Perintis

Luas usaha terang faedah Pakej Perintis
IFTAR BERSAMA: Cik Halimah beramah mesra dengan seorang penghuni rumah tumpangan Darul Takrim di Tampines semalam, sambil diperhatikan Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar (duduk, kiri).

SINGAPORE - Usaha akan diperluas bagi mendekati jemaah masjid, khususnya warga emas, untuk diberi penerangan lebih jelas tentang manfaat yang bakal mereka terima daripada Pakej Generasi Perintis (PGP) bernilai $8 bilion yang diperkenal pemerintah.

Ini dinyatakan Speaker Parlimen, Cik Halimah Yacob, ketika diminta mengulas tentang usaha Jawatankuasa Bersama Generasi Perintis (PGJC) di masa depan.

Semalam, beliau, yang juga menerajui jawatankuasa itu, telah berkunjung ke rumah tumpangan Darul Takrim di Tampines bersama wakil unit maklum balas pemerintah, Reach.

Kunjungan itu diadakan dalam rangka usaha PGJC mendekati lebih ramai masyarakat Melayu/Islam dan memupuk kesedaran tentang PGP.

Jawatankuasa bersama itu ditubuhkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Yayasan Mendaki. Ditemui wartawan selepas kunjungan itu, Cik Halimah berkata: "Apa yang kita dapat tahu ialah kita perlu menyampaikan mesej dengan mudah.

"Kita juga mengambil peluang memaklumkan kakitangan dan anak-anak penghuni rumah tumpangan tentang PGP." Sebelum ini Cik Halimah telah berkunjung ke Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Muhammadiyah (MHCC) di Eunos, dan Rumah Tumpangan Warga Tua Pertapis.

Cik Halimah turut menyertai warga emas berbuka puasa semalam.

Pakej generasi perintis ditawarkan kepada warga Singapura yang berusia 65 tahun ke atas tahun ini dan menjadi warga Singapura sebelum 1987.

Antara manfaatnya, warga perintis akan mendapat potongan 50 peratus daripada bil untuk rawatan di poliklinik dan di klinik pesakit luar pakar, serta di klinik Skim Bantu Kesihatan Masyarakat (CHAS).

Warga perintis juga akan menerima tokokan $200 hingga $800 setiap tahun dalam akaun Medisave mereka. Di bawah pakej itu lagi, mereka menerima subsidi daripada pemerintah untuk membiayai premium MediShield Hayat yang bakal dilaksanakan tahun depan. 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

More about

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.