Madrasah mampu daki tangga jaya

Madrasah mampu daki tangga jaya

PENCAPAIAN murid madrasah dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) lalu menunjukkan bahawa madrasah di sini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sekolah nasional.

Sebabnya, tidak banyak yang membezakan pencapaian madrasah dan sekolah nasional itu.

Sebagai contoh, 61.7 peratus murid madrasah yang menduduki peperiksaan tersebut berjaya ke aliran Ekspres. Jumlahnya tidak jauh daripada peratusan purata nasional iaitu 66.4 peratus.

Dari segi kadar kelulusan, madrasah mencatatkan keputusan lebih baik dengan 98.4 peratus muridnya lulus, berbanding 97.6 peratus di peringkat nasional.

Sejumlah 311 murid Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah, Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah menduduki PSLE tahun ini.

Memberi contoh itu dalam wawancara dengan Berita Harian (BH), Pengarah Kanan Madrasah, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Abdul Razak Lazim, juga berkongsi bahawa kesemua madrasah setempat bukan hanya memenuhi ukur tara minimum PSLE iaitu agregat 171, malah melepasinya dengan agregat yang agak tinggi.

"Ini menunjukkan madrasah kita setaraf sekolah nasional. Bagi madrasah dan murid mencapai keputusan sedemikian, walaupun perlu mengimbangi subjek bahasa Arab dan subjek Islam lain, ia mencerminkan semangat kental madrasah dan murid-muridnya," ujar beliau.

Diminta mengulas keputusan Madrasah Al-Irsyad - madrasah di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS) - Encik Abdul Razak berkata jangkaannya bagi kohort murid PSLE Irsyad tahun ini lebih berat memandangkan jumlah kelas bertambah daripada dua kepada enam.

Murid Madrasah Al-Irsyad yang menduduki PSLE tahun ini merupakan kohort pertama madrasah itu yang mengambil peperiksaan tersebut selepas enam tahun dibimbing di bawah sukatan pelajaran dan teknik pengajaran JMS yang dipertingkat.

Lantas, Encik Abdul Razak berkata JMS terbukti dengan kelakonan cemerlang murid madrasah tersebut.

Menurut beliau, agregat 269 yang dicapai Aisyah Nurul Izza daripada madrasah tersebut juga wajar dibanggakan masyarakat.

Agregat tersebut ialah yang tertinggi pernah dicapai sejak PSLE diharuskan bagi madrasah.

Malah, sembilan murid terbaik sekolah madrasah merupakan pelajar Al-Irsyad.

"Kami yakin ini satu permulaan. Madrasah Al-Irsyad akan terus berusaha melakukan lebih baik sedang ia memperbaiki perlaksanaan JMS yang baru," ujarnya lagi.

Menyentuh perihal bantuan yang disediakan Muis untuk madrasah bukan JMS, Encik Abdul Razak menerangkan kesemua madrasah menerima geran PSLE bagi membantu persiapan murid dan juga guru.

Ini termasuk pakej siap PSLE yang diperkenal pada 2007. Geran itu boleh digunakan madrasah bagi menjalankan bengkel dan kegiatan pembelajaran tambahan berkaitan dengan PSLE. Setiap murid darjah lima dan enam menerima geran $300 setahun.

Tahun ini $184,200 dibelanjakan bagi kegunaan 614 murid. Bagi latihan guru pula, sejak 2003, Muis bekerjasama dengan Universiti Edith Cowan dari Australia dan Institut Pendidikan Nasional (NIE) untuk melatih guru madrasah dari segi rekaan sukatan pelajaran dan mempertajam kemahiran mengajar.

Sehingga kini, hampir 300 guru dan pengetua telah menjalani kursus merangkumi programme diploma hingga programme kepimpinan pendidikan.

Secara keseluruhan, Muis telah membelanjakan lebih $3 juta sejak 2008 bagi latihan guru.

"Kurikulum sentiasa berubah dan terdapat keperluan bagi para pendidik mempersiap diri menghadapi perubahan dan perkembangan dalam sektor pendidikan.

"Muis beriltizam terus mempertingkat programme bagi para pendidik dalam sektor madrasah supaya kita dapat memperbaiki kelakonan cemerlang yang dipamerkan murid-murid madrasah sejauh ini," ujar Encik Abdul Razak.


This article was first published on December 8, 2014.
Go to beritaharian.sg for more stories.

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.