Makan percuma di masjid - tak kira siapa

Makan percuma di masjid - tak kira siapa

ORANG ramai - baik jemaah Muslim mahupun pengunjung bukan Islam - tidak akan kelaparan apabila ke Masjid Darul Aman setiap Selasa dan Khamis.

Berkat sumbangan seorang dermawan, bungkusan makanan percuma tersedia buat sesiapa sahaja, susah mahupun senang, pada tengah hari dua hari tersebut.

Hasil sumbangan dermawan itu, Masjid Darul Aman dipercayai satu-satunya masjid di Singapura yang mempunyai projek makanan percuma untuk semua.

Ilham bagi projek Free Food For All itu dicetuskan oleh Encik Nizar Mohd Shariff, seorang pengurus sewa khas (chartering) berusia 44 tahun.

Menceritakan permulaan usahanya itu, Encik Nizar berkata beliau mahu membantu golongan yang memerlukan dengan memberi makanan harian.

Beliau kemudian mendapati tiada tempat yang menyediakan makanan percuma halal setiap hari.

Encik Nizar akhirnya mendekati Masjid Darul Aman pada Oktober lalu dan menyuarakan hasratnya mahu mengadakan projek tersebut.

"Pada mulanya, kami membuat projek beriani bersama dan mereka memberi sokongan kuat jadi saya mendekati mereka dan memberi idea saya memberi makanan dua kali seminggu," kata beliau.

Sebanyak 300 bungkusan makanan disediakan pada Selasa dan 200 bungkusan disediakan pada Khamis.

Encik Nizar berkata beliau membelanjakan sekitar $500 hingga $600 seminggu bagi projek Free Food For All itu.

Sambutan bagi projek itu juga baik, dengan bungkusan makanan semua habis diagihkan pada setiap Selasa dan Khamis. Ditanya mengapa makanan itu diagihkan kepada semua dan bukan khusus kepada golongan memerlukan dan orang Islam sahaja, beliau berkata: "Saya percaya bahawa salah satu perkara mudah bagi kita ke syurga adalah dengan memberi makanan kepada orang ramai dan saya tidak percaya... bahawa anda hanya perlu memberi makanan kepada yang miskin, orang Islam dan yang memerlukan sahaja," kata beliau.

"Kami tidak mendiskriminasi, kami tidak meminta apa-apa kembali. Kami hanya berharap projek ini dapat berterusan dan berkekalan," kata beliau.

Encik Nizar berkata beliau berharap masyarakat akan dapat memberi sumbangan kepada projek ini supaya ia dapat berterusan.

Beliau menambah bahawa beberapa orang telah pun memberi sumbangan bagi projek itu kepadanya secara peribadi, malah ada juga orang bukan Islam yang telah menyuarakan hasrat memberi sumbangan.

Encik Nizar berharap projek itu mendapat sumbangan yang cukup bagi memberi 2,000 bungkusan makanan bagi empat hari dalam seminggu pada masa depan.

"Harapan saya ialah agar kita dapat menggalak belas kasihan dan kebaikan di kalangan semua, tidak kira agama. Dengan menyediakan makanan, kita membantu memberi zat dan khasiat dalam kehidupan harian mereka," kata beliau.

irmak@sph.com.sg


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

More about

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.