Malu punca tiada kumpulan sokongan Melayu

Malu punca tiada kumpulan sokongan Melayu

ORANG Melayu masih malu berbicara tentang barah buah dada berbanding kaum lain di Singapura.

Presiden Yayasan Barah Buah Dada Singapura (BCF), Cik Noor Quek, berkata ini jelas dapat dilihat daripada kurangnya peserta Melayu dalam kegiatan yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang penyakit itu.

Menurut beliau, tiada kumpulan sokongan penyakit itu dalam kalangan orang Melayu, sedangkan masyarakat Cina, India dan ekspatriat di sini telah membentuk kumpulan sokongan masing-masing di bawah BCF.

Kumpulan sedemikian disertai wanita yang telah pulih daripada barah buah dada dan suami mereka serta individu lain yang tidak menghidap penyakit itu tetapi ingin menyokong usaha meningkatkan kesedaran tentangnya.

Mereka antara lain berkongsi pengalaman dan melakukan pelbagai kegiatan, seperti zumba, menjahit dan keluar makan bersama.

Mengenai tiada kumpulan masyarakat sokongan sedemikian dalam masyarakat Melayu, Cik Noor berkata antara alasan yang diberi orang Melayu apabila diundang menjadi suri teladan bagi wanita lain ialah: 'Tak payahlah, kami sudah baik, dan 'segan nanti orang tahu kami sakit'.

Menurutnya, mereka lebih selesa mengongsi pengalaman dengan kawan atau saudara-mara terdekat sahaja. Cik Noor berkata lebih ramai orang perlu tampil menyebarkan mesej tentang pentingnya pengesanan awal kerana pesakit mempunyai peluang lebih besar akan pulih sekiranya penyakit mereka dikesan awal.

Lantaran itulah, kempen Bulan Kesedaran Barah Buah Dada (BCAM) sepanjang bulan ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan menggalak lebih ramai wanita menjalani pengesanan awal.

Temanya - Bersama Kita Lebih Kukuh - dipilih bagi menyebarkan mesej bahawa barah buah dada dapat diatasi dengan sokongan orang tersayang.

Ia mengajak kaum lelaki, termasuk bapa, anak lelaki dan suami, memainkan peranan menyokong wanita dalam hidup mereka.

Cik Noor berharap lebih ramai orang Melayu akan tampil menyokong usaha BCF, lebihlebih lagi kerana pejabat badan itu telah berpindah ke lokasi lebih dekat dengan kawasan Geylang, iaitu pusat beli-belah Kallang Leisure Park di Kallang.

Beliau menarik perhatian, wanita Melayu juga mungkin keberatan tampil berkongsi pengalaman mereka kerana takut kehilangan suami apabila teman-teman suami mereka menganggap mereka bukan wanita sempurna lagi.

Cik Noor menekankan bahawa barah buah dada bukan sekadar 'masalah wanita', kerana orang lelaki terjejas juga jika ada wanita dalam keluarganya, terutama isteri atau ibu, menghidapi penyakit itu.

"Orang lelaki tidak boleh cakap ia masalah wanita kerana jika isteri terkena, mereka juga terjejas. Di Singapura, kebanyakan pasangan suami isteri bekerja dan jika seorang daripada mereka terpaksa berhenti kerja, kewangan keluarga terjejas juga.

Sebab itu adalah penting menggalak pengesanan awal," ujarnya.

Menurut beliau, suami juga boleh memainkan peranan menggalak isteri menjalani pemeriksaan supaya dapat mengawal penyakit itu lebih awal. Suami yang telah melalui pengalaman mendampingi isteri mereka yang pernah menghidap barah buah dada boleh berkongsi pengalaman mereka dengan suami lain bagi menyuntik sokongan moral dan memberitahu mereka bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan melawan penyakit itu.

Anak juga harus menggalak ibu mereka menjalani pemeriksaan kerana mereka juga akan terjejas sekiranya ibu mereka mengalaminya.

"Apabila anak-anak memberi ibu mereka duit semasa Hari Raya, misalnya, mereka boleh juga mengajak ibu mereka menjalani mamogram. Bukan sekadar memberi duit dan menyuruh ibu pergi, tetapi meluangkan masa dan membawa mereka pergi," Cik Noor.

Masyarakat secara umum juga boleh menyumbang kepada usaha meningkatkan kesedaran tentang barah buah dada dan pentingnya menjalani pemeriksaan.

Azatisah, misalnya, boleh menyelitkan soal pemeriksaan kesihatan dalam ceramah mereka.

"Dari sudut agama, Allah memberi kita tubuh dan kita sepatutnya menjaganya dengan baik. Kita juga diberitahu supaya bersatu sebagai sebuah keluarga, dan pada asasnya mesej yang ingin kami sampaikan ialah kita harus bertanggungjawab sebagai sebuah keluarga dan saling mengambil berat," kata Cik Noor.

 

MAKLUMAT TENTANG MAMOGRAM

APA DIA

Imbasan X-ray bagi mengesan barah buah dada.

BERAPA KERAP

- Setahun sekali bagi wanita berusia antara 40 dengan 49 tahun.

- Setiap dua tahun bagi wanita berusia 50 tahun dan ke atas.

HARGA

Di bawah programme nasional bagi pemeriksaan barah buah dada BreastScreen Singapore (BSS), pemeriksaan bersubsidi ditawarkan di beberapa poliklinik. Warga Singapura membayar $50, sementara Penduduk Tetap (PR) $75.

Wanita berusia 50 tahun dan ke atas boleh menggunakan akaun Medisave mereka atau anggota keluarga terdekat (tidak termasuk adik-beradik), di pusat pemeriksaan BSS.

PERCUMA

- Sehingga 31 Disember ini, warga lahir pada 1964 dan menyambut ulang tahun ke-50 tahun ini yang memenuhi kriteria kelayakan boleh menjalani mamogram tajaan Persatuan Barah Singapura (SCS) secara percuma.

- Ini sebahagian daripada projek FIT50, yang menyediakan pemeriksaan mamogram, ujian pap smear bagi mengesan barah serviks dan ujian najis faecal immunochemical (Fit) bagi mengesan barah kolorektum. E SCS menambah subsidi yang diberi pemerintah, sekali gus menjadikannya percuma. Di klinik Pusat Berbilang Khidmat SCS di Bishan Place, terdapat doktor wanita yang mengendalikannya.

- Wanita berpendapatan rendah yang mempunyai kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) juga boleh menjalani mamogram percuma di bawah Beam15, iaitu usaha sama Yayasan Barah Buah Dada (BCF) dan Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB).


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.