Masagos: Muslim Singapura prihatin tetapi perlu tenang, bersikap rasional

Masagos: Muslim Singapura prihatin tetapi perlu tenang, bersikap rasional

MASYARAKAT Melayu/ Islam di Singapura terkesan dan bersedih dengan krisis di Gaza, terutama sekali apabila berlakunya kehilangan nyawa yang tidak bersalah.

Namun pada masa yang sama, masyarakat perlu terus bertenang dan tidak mengambil tindakan kurang rasional.

Ini dinyatakan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Dalam Negeri), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, ketika diminta mengulas mengenai situasi di Gaza.

"Sebagai orang Islam, kami pasti terkesan dengan apa sahaja keganasan yang berlaku, apa lagi jika mangsa tidak bersalah, atau mereka hanya berada dalam kawasan konflik. Kami sangat sedih melihat kecederaan dan kerosakan yang berlaku," ujar Encik Masagos.

Beliau berkata Singapura berharap agar semua pihak - Israel dan Palestin - dapat ke meja rundingan untuk mencapai huraian.

Pada masa yang sama, Encik Masagos menasihatkan orang Islam agar tidak mengambil tindakan yang tidak rasional.

"Jangan pula kita ambil tindakan tidak rasional hingga mahu ke sana untuk sama-sama berjuang," ujar Encik Masagos.

Beliau berkata dikhuatiri akan berlaku seperti krisis di Syria, yang mana ada warga asing yang berjuang ke sana "pada mulanya ingin membantu tetapi akhirnya menjadi radikal dan pulang membawa pengganasan ke negara masing-masing."

Masyarakat Islam di sini turut diminta supaya berdoa agar kedamaian dapat dicapai di kawasan itu dan di seluruh dunia, serta menderma kepada badan yang diiktiraf untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa.

Encik Masagos ditemui media semasa mengadakan kunjungan ke gerai Jabatan Penjara Malaysia di bazar Tampines.

Gerai itu menampilkan produk buatan tangan banduan di penjara Malaysia seperti songket, kain batik dan songkok.

Ia sebahagian programme pemulihan banduan di penjara di Malaysia.

Gerai itu ditubuhkan dengan sokongan Jawatankuasa- Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Tampines dan penganjur bazar, Orange Coach Travel dan Orange Events Media.

Encik Masagos berkata kerjasama dengan pihak penjara Malaysia itu berputik daripada lawatan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) tahun lalu untuk memahami pendekatan Malaysia menangani masalah dadah.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.