Medishield Hayat penuhi keperluan rakyat

Medishield Hayat penuhi keperluan rakyat

RAKYAT Singapura merupakan antara yang beruntung di dunia, termasuk dari segi penjagaan kesihatan bertaraf dunia yang termampu. Ini memandangkan sejumlah saranan bagi MediShield Hayat oleh sebuah jawatankuasa semakan pimpinan Encik Bobby Chin telah diterima secara prinsip oleh pemerintah.

Ini bermakna pada tahun depan: rakyat watan ini, baik yang sakit mahupun tidak, akan menikmati perlindungan kesihatan yang menyeluruh atau universal. Ini satu detik sejarah penting.

Hakikatnya hanya segelintir negara memiliki kelebihan seperti Singapura dalam hal ini. Di negara jiran Indonesia, misalnya, pemerintah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah menampilkan perlindungan kesihatan yang menyeluruh walaupun terdapat pelbagai masalah atau kendala seperti kekurangan dana dan prasarana serta kawasan yang jauh terpencil di negara gugusan kepulauan ini.

Di Amerika Syarikat, rancangan Obamacare cuba memberikan perlindungan kepada seluruh rakyat, termasuk pesakit yang miskin dan tanpa insurans. Ia telah mencetuskan tengkarah meluas yang memecahbelahkan rakyat antara yang berada dengan tidak berada mengenai keampuhannya dari segi pembiayaan nasional.

Tinjauan rambang menunjukkan respons umum yang bercampur-campur terhadap MediShield Hayat. Hal ini disebabkan rasa kurang pasti rakyat kerana skim ini masih perlu diperhalusi dan dikemaskan sebelum dilancarkan kelak.

Lazimnya, suatu yang baharu memanglah memerlukan masa untuk difahami dengan sejernih-jernihnya.

Mentelah dalam kalangan rakyat, terdapat masalah tidak faham, bingung atau ragu mengenai perkembangan penggunaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang menawarkan penggunaan bagi tujuan perumahan, kesihatan dan keperluan hari tua.

Kini saja sudah terdapat kebimbangan kalangan rakyat terhadap jumlah Simpanan Minimum yang tampaknya dinaikkan saban tahun sejajar dengan inflasi dan kos hidup.

Jadi, timbul tanda tanya cukupkah wang mereka untuk membiayai kos kesihatan yang terus meningkat?

Cakap mudahnya: yang menjadi titik keprihatinan utama ialah apakah bayaran atau premium MediShield Hayat dimampui rakyat biasa?

Para pemimpin negara, terutama Menteri Kesihatan Encik Gan Kim Yong, telah memberikan jaminan bahawa kebimbangan sedemikian tidak perlu. Dengan adanya MediShield Hayat, katanya, pesakit ginjal yang memerlukan rawatan dialisis (cuci darah) akan mendapati kos jagaan kesihatannya lebih tertampung dalam jangka panjang.

Dalam pada itu, gerakan sekerja negara, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), telah menyeru majikan supaya membantu dalam menampung kos kesihatan pekerja. Dengan adanya MediShield Hayat yang disemak, diharap majikan dapat menambah sumbangan sehingga 1 peratus kepada CPF. Ini akan mengurangi premium yang ditanggung pekerja.

Kita juga menyokong hujah NTUC bahawa skim faedah kesihatan mudah alih yang disediakan majikan atau dibayar bersama dengan pekerja sudah sewajarnya disemak agar lebih relevan.

Kehadiran MediShield Hayat memang bertepatan waktunya sedang Singapura memasuki zaman ekonomi matang dan kehadiran penduduk generasi tua yang kian ketara.

Ini menunjukkan teras keadilan dan keihsanan negara ini dalam membela kehidupan rakyatnya. Pokoknya, penjelasan mengenainya perlu dihebahkan secara berkesan agar mudah difahami dan dihargai rakyat.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

More about

Medishield Life
Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.