MOH akan bantu warga fahami skim

MOH akan bantu warga fahami skim

KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) akan berusaha mempertingkatkan pendekatan bagi membantu warga Singapura memahami skim MediShield Hayat dengan lebih mendalam.

Dalam beberapa bulan mendatang, Menteri Negara Kanan (Kesihatan), Dr Amy Khor, berkata MOH akan mengadakan taklimat bersama pemimpin akar umbi, bekerjasama dengan industri insurans swasta dan kumpulan bantu diri bagi mendekati pelbagai lapisan masyarakat Singapura.

"Kami berharap menerusi rangkaian ini - kesedaran umum mengenai pelbagai skim jagaan kesihatan dan manfaatnya - antara pemimpin akar umbi akan dipertingkat, dan mereka akan membantu kami menjelaskan skim-skim itu kepada penduduk," katanya.

Beliau menambah pihak insurans swasta juga akan mengambil peranan lebih aktif dalam menjelaskan perincian mengenai MediShield Hayat kepada klien mereka, seperti bagaimana MediShield Hayat dan pelan perlindungan bersepadu (IP) dapat bekerjasama dan bagaimana pemegang polisi IP boleh menerima subsidi mereka.

"Ini agar klien mereka boleh membuat keputusan berdasarkan berpengetahuan mengenai pelan sesuai yang memenuhi keperluan dan kemampuan mereka," kata beliau.

MOH juga akan bekerjasama dengan pihak insurans IP bagi memastikan pemasaran bertanggungjawab bagi produk mereka.

Badan-badan masyarakat dan kumpulan bantu diri, seperti Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda), Persatuan Serani (EA) dan Mendaki, juga boleh membantu mendekati pelbagai masyarakat Singapura, termasuk mereka yang tidak berbahasa Inggeris.

Dr Khor berkata pihaknya akan menghasilkan advertorial dan iklan yang muncul semasa lelaman sedang dimuat turun di akhbar atau di media utama - radio dan televisyen - serta kolateral yang mudah difahami.

Usaha pendekatan itu akan dilaksanakan secara berfasa, dengan fasa permulaan akan tertumpu pada manfaat umum MediShield Hayat dan sistem kewangan jagaan kesihatan.

Fasa seterusnya akan tertumpu pada perincian seperti bagaimana warga Singapura boleh mendapatkan subsidi premium, bagaimana membuat tuntutan dan maklumat lanjut mengenai bagaimana IP dapat bekerjasama dengan MediShield Hayat.

"Usaha pendekatan kami menjangkau daripada hanya menjelaskan perincian teknikal sistem kewangan jagaan kesihatan kami, dengan ada segelintir yang mungkin mendapati sukar faham atau mungkin tidak mahu tahu. Ia juga mengenai memperjelaskan tanggapan salah dan memberi jaminan," kata beliau.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.