Muis sasar asatizah belajar pengalaman RRG perangi ekstremisme

Muis sasar asatizah belajar pengalaman RRG perangi ekstremisme

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyasar mendapatkan setiap asatizah mempelajari pengalaman Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dalam memerangi ekstremisme.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berkata asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah perlu melalui programme Pendidikan Profesional Berterusan, yang merangkumi modul mengenai memerangi ekstremisme oleh RRG sejak 2013.

"Menerusi modul ini, RRG mengongsi dengan asatizah pengalamannya dalam memulih dan menyepadukan semula bekas anggota Jemaah Islamiyah ke dalam masyarakat.

"Muis dan RRG akan terus mengemas kini modul ini untuk memastikan ia relevan dan menyasarkan setiap asatizah menghadirinya," kata beliau di Parlimen semalam.

Menurut Dr Yaacob, sebanyak 80 peratus asatizah merupakan sebahagian daripada Skim Pengiktirafan Asatizah kini, dan pihaknya akan menggalak baki 20 peratus asatizah menyertai skim tersebut.

Dr Yaacob menambah bahawa ramai asatizah telah mengunjungi Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) RRG di Masjid Khadijah sejak pelancarannya pada 2014 bagi mempelajari usaha RRG dalam menangani ideologi ekstremis, terutama di platform media sosial.

RCC merupakan wadah penting mengutarakan suara timbal balas yang meyakinkan terhadap naratif pelampau oleh golongan pengganas dan unsur radikal lain di ruang awam, terutama wadah media sosial, untuk memikat orang lain.

Selain menyokong anggota RRG mendokumen dan menyebarkan kajian mereka berkenaan radikalisasi dan pelampauan ganas, RCC juga menjadi sumber bagi mereka yang ingin mempelajari lebih lanjut tentang Islam.

Pusat itu juga membolehkan individu mendapatkan nasihat dan bimbingan daripada RRG berhubung isu pelampau dan radikalisasi dalam sekitaran yang selamat.

Dr Yaacob berkata RRG turut mendekati pelajar madrasah peringkat menengah dan posmenengah mengenai ancaman radikal dan ekstremisme menerusi platform seperti membawa mereka ke RCC dan Seminar Prauniversiti Madrasah.

Seminar Praunversiti Madrasah itu dihadiri semua pelajar madrasah peringkat menengah dan prauniversiti dan diadakan setiap dua hingga tiga tahun sekali, kata Dr Yaacob.

"Muis akan terus memperkukuh kurikulum madrasah dengan kandungan relevan yang dibangunkan RRG," kata beliau.

Di samping itu, dalam menjawab pertanyaan tambahan oleh Dr Fatimah Lateef (GRC Marine Parade), Dr Yaacob berkata jawatankuasa masjid, termasuk kumpulan belia masjid, turut digalak mempelajari usaha RRG dan masjid boleh mengadakan programme mereka sendiri.

"Bahkan, sejak RCC dibuka pada 2014, ramai pengunjung telah datang mengunjunginya, bukan hanya daripada kumpulan agama, malah daripada kumpulan lain kerana kami mahu menggalak pemahaman lebih luas di kalangan seluruh masyarakat Singapura," kata beliau.


This article was first published on May 10, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.