Muslim selesa berhubungan dengan penganut lain

Muslim selesa berhubungan dengan penganut lain

LEBIH daripada 80 peratus penduduk beragama Islam, Buddha dan Protestan berasa selesa berhubungan dengan penganut agama lain di ruang awam.

Ini hasil usaha pemerintah yang memastikan bahawa masyarakat Singapura tinggal bersama secara aman dan berupaya bertoleransi dengan perbezaan kepercayaan penganut lainnya.

Demikian dapatan kajian Kertas Kerja yang dihasilkan Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan semalam.

Sebagai contoh, 92.1 peratus penganut Islam dan 97.2 penganut Protestan berasa selesa dengan rakan kerja penganut Buddha, sementara lebih 90 peratus penganut Buddha dan Protestan berasa selesa bekerja dengan rakan beragama Islam.

Lebih 90 peratus Muslim pula berasa selesa dengan jiran berlainan agama, dengan 93 peratus selesa dengan jiran beragama Buddha, 93.2 peratus dengan jiran beragama Katolik dan 92.5 peratus dengan jiran penganut Protestan.

Sikap terbuka terhadap penganut agama lain di Singapura dalam ruang awam ini sebahagiannya adalah hasil dasar negara, menurut Kertas Kerja itu.

"Tindakan pemerintah telah memastikan masyarakat Singapura tinggal dalam sekitaran bersama dalam keadaan aman dan berupaya menerima perbezaan agama lain.

"Pemerintah mengamalkan pendekatan yang tegas dalam mencegah sifat eksklusif sosial dalam sekitaran seperti di sekolah awam kepada kejiranan.

"Ketaasuban beragama ditangani dengan tegas dan pemerintah juga menangani komen yang kurang sensitif yang ditujukan kepada sebarang agama," tukil Kertas Kerja tersebut.

Dalam ruang peribadi, Kertas Kerja itu mendapati bahawa tahap penerimaan bagi mereka yang beragama lain adalah lebih rendah.

Ini atas dasar Pemerintah yang tidak cuba mempengaruhi bagaimana masyarakat beragama mengamalkan kepercayaan mereka dalam hal mencari pasangan hidup.

Sebagai contoh, di ruang peribadi, sekitar 95 peratus Muslim, Protestan dan Buddha berasa selesa dengan penganut sendiri - sebagai teman rapat, pasangan hidup mahupun sebagai menantu. Namun dalam hal pasangan hidup pula, 94.2 peratus penganut Islam lebih selesa memilih pasangan hidup yang juga beragama Islam berbanding jika asalnya berlainan agama.

Lebih 20 peratus penganut Islam berasa selesa jika seorang penganut asal Buddha menjadi pasangan hidup mereka, sekitar 20 peratus bagi pasangan hidup daripada yang beragama asal Protestan dan Katolik, dan hampir 20 peratus juga bagi penganut agama asal lain seperti Tao, Hindu dan Sikh.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.