NLB bentuk panel pilih buku

NLB bentuk panel pilih buku

LEMBAGA Perpustakaan Negara (NLB) akan membentuk dua pasukan berasingan bagi memilih dan menilai buku selain membentuk sebuah panel penasihat sedang ia memperkemaskan lagi proses pemerolehan buku bagi bacaan awam ataupun golongan sasaran.

Menyatakan demikian di Parlimen semalam, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, menyifatkan langkah itu bukan sahaja baik tetapi "ia mampu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap proses penilaian" yang dilakukan pihak perpustakaan.

"NLB akan memastikan pasukan yang memilih buku bagi diletakkan di perpustakaan awam dan pasukan yang menilai buku ini ialah pasukan yang berlainan. Pada masa ini, ia tidak jelas.

"Ia satu amalan yang baik bagi mengasingkan tanggungjawab ini dan saya percaya ia akan juga meningkatkan keyakinan awam terhadap proses penilaian yang dijalankan," kata Dr Yaacob sebagai menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan tujuh Anggota Parlimen semalam.

Tengkarah tercetus awal bulan lalu menyusuli tindakan NLB menarik keluar tiga buku kanak-kanak berbahasa Inggeris yang berbaur homoseksual - And Tango Makes Three, mengenai dua penguin jantan yang menetaskan telur; The White Swan Express: A Story About Adoption, yang antara lain memaparkan pasangan lesbian dan ibu tunggal; dan Who's In My Family?: All About Our Families, tentang pelbagai struktur keluarga.

Keputusan itu dibuat NLB menyusuli maklum balas awam yang mendapati buku tersebut tidak mencerminkan resam hidup masyarakat di sini yang konservatif. Langkah NLB itu bagaimanapun dibantah segolongan yang lain yang melihatnya sebagai satu penapisan dan tidak membayangkan realiti kehidupan yang sekular dan terbuka di sini.

Akhirnya, NLB memutuskan meletakkan dua buku And Tango Makes Three dan The White Swan Express: A Story About Adoption yang sebelum ini berada di bahagian kanak-kanak, dialihkan ke koleksi orang dewasa, sedang buku ketiga telah dihapuskan.

Menyentuh soal pembentukan sebuah panel penasihat, Dr Yaacob berkata NLB sedang melakar perinciannya namun "ia akan mengambil kira keprihatinan masyarakat yang lebih meluas... jawatankuasa sedemikian harus mewakili pelbagai pihak dalam masyarakat, termasuk mereka dari masyarakat kesusasteraan".

Beliau dalam pada itu turut menekankan bahawa membuat pemilihan sesebuah buku "bukanlah sesuatu yang berasaskan sains semata-mata" dan mereka yang menilai buku ini juga "punya prejudis dan sikap berat-sebelah" mereka sendiri.

Disebabkan itu, panel penasihat yang dibentuk diharap dapat membantu dalam menentukan kesesuaian sesebuah buku.

Secara amnya, NLB mengelolakan rangkaian 25 perpustakaan awam di serata negara, dengan kira-kira 35 juta pinjaman setahun.

"Pemerintah memberi perhatian terhadap resam masyarakat. Ia pendekatan yang betul.

"Kita akan terus menjalankan tinjauan, dari masa ke semasa, dan secara aktif mendengar bagaimana warga Singapura membahaskan sesuatu isu.

"Oleh itu, kita juga harus mengukuhkan proses kita demi memastikan koleksi buku kita dapat memenuhi sebaiknya norma masyarakat," ujar Dr Yaacob.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.