Pejabat baru Mendaki Sense buka pintu lebih luas pertingkat kemahiran

Pejabat baru Mendaki Sense buka pintu lebih luas pertingkat kemahiran

MASYARAKAT Melayu/Islam boleh menjangka lebih banyak ruang menjalani latihan meningkatkan kemahiran dengan pelancaran ibu pejabat baru Mendaki Sense di Changi Road.

Semasa melancarkannya semalam, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim (gambar), berkata Mendaki Sense terus memainkan peranan penting memupuk semangat belajar sepanjang hayat dalam masyarakat sedang ekonomi sentiasa berubah.

"Kelayakan kertas dan kemahiran yang membantu kita mendapat pekerjaan selepas sekolah tidak lagi cukup untuk membantu kita maju.

"Jika kita ingin kekal aktif dari segi ekonomi, relevan dan berdaya saing, kita mesti menjadi masyarakat pelajar sepanjang hayat," ujar Dr Yaacob, yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan serta pengerusi Yayasan Mendaki.

Beliau berkata demikian ketika berucap di pelancaran pejabat baru Mendaki Sense, cabang latihan Yayasan Mendaki, itu di bangunan Wis@Changi.

Kemudahan seluas 10,000 kaki persegi, atau sekitar enam gelanggang badminton, itu antara lain mempunyai lapan bilik darjah, makmal komputer dan bilik pelbagai guna. Pejabat baru itu boleh menampung sehingga 250 pelatih sekali gus.

Mendaki Sense berpindah ke ibu pejabat baru itu April lalu dari tempat lama di Toa Payoh, yang mempunyai hanya satu bilik darjah.

Tempat baru yang berdekatan pusat pertukaran bas dan stesen MRT Eunos itu diharap memudahkan lebih ramai orang menghadiri kursus.

Dr Yaacob berkata kemudahan itu juga boleh disewa badan Melayu/Islam lain pada harga berpatutan bagi menjalankan programme mereka.

Semasa ditemui selepas majlis perasmian tersebut, Dr Yaacob diminta mengulas peluang bagi masyarakat Melayu/- Islam berhubung saranan Jawatankuasa Semakan Bagi Pembelajaran Gunaan di Politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (Aspire), yang bertujuan mewujudkan lebih banyak laluan bagi pelajar politeknik dan ITE.

"Kami sedang mengkaji saranan Aspire... kerana kami percaya Aspire akan memberi manfaat kepada masyarakat," ujar Dr Yaacob.

Ini bermakna Mendaki Sense juga perlu mempergiat kerjasama dengan rakan kerja industri bukan bagi memberi peluang pekerjaan sahaja bahkan menawarkan laluan latihan untuk pekerja, katanya.

Dr Yaacob memberi contoh kerjasama Mendaki Sense bersama industri maritim untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Sense College juga satu usaha Mendaki Sense mewujudkan laluan alternatif dengan memberi peluang kepada pelajar dan pekerja mengambil semula peperiksaan GCE peringkat 'N', 'O' dan 'A'.

Kolej itu bakal memperkenal programme baru berdasarkan kemahiran yang menggabungkan pembelajaran akademik dan latihan pekerjaan.

Sementara itu, Dr Yaacob berkata Mendaki Sense sedang merancang membuka satu lagi pusat penjagaan pelajar di sebuah sekolah rendah.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

 

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.