Pejuang veteran di padang

Pejuang veteran di padang

Kededuanya antara pemain skuad nasional yang mencipta sejarah apabila menjulang mahkota Piala Malaysia dua kali - 1977 dan 1980. Siapa yang tidak kenal Samad Allapitchay dan rakannya di benteng pertahanan Singa yang mendapat gelaran 'kereta kebal Russia' - Hasli Ibrahim? Sudah lebih 30 tahun mereka meninggalkan bola sepak dan segala kejayaan dan pencapaian mereka itu antara kenangan manis yang diabadikan dalam lipatan sejarah bola sepak negara ini. Kededua Samad dan Hasli juga baru menyambut hari jadi ke-64 baru-baru ini. Mereka berdua bagaimanapun gagal mendapat tempat dalam 'skuad' yang layak menerima manfaat Pakej Generasi Perintis (PGP) yang diumumkan pemerintah baru-baru ini bagi warga yang berusia 65 tahun dan ke atas. Samad dan Hasli masih berharap pemerintah melonggarkan 'sasaran' itu dan turut menyertakan mereka. ANWAR YAHYA (anwar@sph.com.sg) menyorot perkembangan terkini kededua legenda bola sepak negara itu.

SAMAD ALLAPITCHAY: Harap dapat kelonggaran Pakej Generasi Perintis

GELARAN 'The Rock of Gilbratar' yang diberikannya setiap kali beraksi di benteng pertahanan Singapura tidak datang dengan sewenang-wenangnya.

Sebaliknya, ia satu pengiktirafan dan sanjungan besar ke atas kehebatan yang dipamerkan sepanjang hampir dua dekad menyarungi jersi pasukan bola sepak nasional yang bermula pada 1967.

Dedikasi dan semangat juang yang ditunjukkan Samad Allapitchay, bekas tunggak pertahanan Singa, turut menyaksikan beliau tampil sebagai satu-satunya kapten pasukan Singapura yang berjaya menjulang mahkota Piala Malaysia dua kali - 1977 dan 1980.

Bersama-sama rakan seperjuangan seperti Allahyarham Dollah Kassim, S. Rajagopal, Arshad Khamis, Mohammed Noh, M. Kumar, Hasli Ibrahim dan Quah Kim Song, nama Samad tentunya akan terus terpahat dalam lipatan sejarah kegemilangan bola sepak negara ini.

Tahun ini tepat 30 tahun Samad - yang baru menyambut hari jadinya yang ke-64 pada Julai lalu - meninggalkan sukan kesayangannya itu.

Sekalipun melewati umur persaraan, beliau - yang tetap sihat dan tegap - akui masih bekerja "sikit-sikit tolong kawan" bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Sayangnya, umurnya tahun ini adalah "setahun lebih muda" untuk layak mendapatkan pelbagai manfaat - termasuk membantu warga emas menampung kos penjagaan kesihatan - yang disediakan Pakej Generasi Perintis yang diumumkan baru-baru ini.

Pakej Generasi Perintis - yang bernilai $8 bilion - dilakar khas bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa golongan perintis yang berusia 65 tahun atau lebih.

Memuji inisiatif terbaru itu bagi mengenang sumbangan 'orang-orang lama' yang telah banyak berkorban dan berjasa kepada negara, Samad, kini datuk kepada tujuh cucu, berharap kelongggaran dapat diberi bagi golongan sepertinya yang "berada di ambang usia 65 tahun".

"Itulah harapan saya. Saya berharap sumbangan kami juga tidak dilupakan kerana dalam meniti usia senja, sekecil bantuan yang dihulurkan memang besar maknanya terutama bagi golongan seperti saya," ujar Samad lagi, sambil menambah bahawa beliau juga sedang berusaha mendapatkan flat sewa setelah sekian lama menetap di rumah anak perempuan sulungnya.

"Melihat cucu-cucu semakin membesar, tiba masanya bagi saya dan isteri berdikari dan menetap di rumah sendiri. Saya merancang bertemu dengan AP (anggota parlimen) untuk membantu saya mendapatkan flat sewa," katanya terus terang.

Dalam hal ini, menurut Samad lagi, 'nasib' pemain seangkatannya yang hanya dibayar elaun tidak boleh dibandingkan dengan gaji lumayan yang diterima barisan pemain profesional, baik dalam Liga-S mahupun skuad LionsXII, hari ini.

"Zaman saya mana ada pemain profesional. Kami semua mempunyai pekerjaan tetap. Saya masih ingat elaun pertama saya waktu itu... hanya 50 sen. Jumlah ini naik sedikit demi sedikit selang beberapa tahun saya mengikuti latihan nasional sehinggalah ia mencecah $20 semasa di bawah pimpinan mendiang Uncle Choo Seng Quee (yang dilantik jurulatih nasional empat kali antara 1964 dengan 1977).

"Jadi, soal wang bukannya faktor penting yang mendorong saya serta pemain-pemain seangkatan waktu itu. Ia melebihi nilai wang ringgit. Laungan 'Sorakan Kallang' itulah kepuasan yang tiada tolok bandingnya," tambah Samad, yang bersama-sama tiga pemain Singa lain termasuk penjaga gawang, David Lee; pemain ligat midfield, Malek Awab; dan legenda Fandi Ahmad turut mencipta sejarah unik disertakan dalam Kelab 100 Tahun Gabungan Bola Sepak Asia (AFC).

anwar@sph.com.sg

Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.