Pemansuhan yuran periksa 'kurangi beban pelajar madrasah, papar keprihatinan pemerintah'

Pemansuhan yuran periksa 'kurangi beban pelajar madrasah, papar keprihatinan pemerintah'

MASYARAKAT Melayu/Islam menyambut baik langkah pemerintah memansuhkan yuran peperiksaan nasional bagi pelajar madrasah sepenuh masa, yang diumumkan di Parlimen.

Langkah itu dijangka dapat mengurangkan beban pelajar madrasah serta keluarga mereka, ujar mereka.

Mereka juga berasa langkah itu menunjukkan sikap prihatin pemerintah terhadap setiap rakyat.

Pemansuhan itu diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, semasa perbahasan Belanjawan Ehwal Masyarakat Islam di bawah Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Ketua Jabatan Perkhidmatan dan Komunikasi Korporat Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman, berkata Pergas mengalu-alukan langkah tersebut.

"Kami berasa pelajar madrasah sepenuh masa wajar mendapat perhatian," katanya.

Pengetua Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Encik Herman Cher Ma'in, berkata langkah itu menunjukkan keikhlasan pemerintah.

"Atas hakikat ini, langkah turut memberi pelajar madrasah penepian daripada yuran peperiksaan nasional amat wajar sekali," katanya.

Pengetua Madrasah Al-Irsyad, Encik Noor Isham Sanif, berkata langkah itu bakal memberi kesan positif kepada pelajar dan keluarga mereka.

"Ia boleh mendorong anak madrasah bekerja lebih keras tanpa perlu bimbang tentang wang yang perlu dibiayai keluarga mereka," ujarnya.

Mudir Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Ustaz Mahmoud Mathlub Sidek, berkata pemansuhan yuran peperiksaan bagi pelajar madrasah menjadi petanda positif selagi asas pendidikan dan kurikulum nasional dijalankan di madrasah.

Sementara itu, mudir Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Ustaz Mohd Abdul Halim Haji Mohd Noor, berkata langkah tersebut juga mendorong madrasah terus bergiat memberi pendidikan lebih baik dan berkesan.

Guru Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, Ustazah Hamidunnisah Mohd Hussein, pula berkata ini adalah berita baik sekali bagi madrasah sepenuh masa.

Ustazah Siti Nabilah Abdul Aziz daripada SimplyIslam.sg berkata sebagai bekas pelajar madrasah, beliau sedar akan kos yuran peperiksaan nasional yang agak berat ditanggung ibu bapa.

"Tambahan pula kos yuran bulanan madrasah agak tinggi. Langkah ini akan meringankan sedikit beban ibu bapa," ujarnya.

Semasa membentangkan Belanjawan 2015 baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam, mengumumkan pemansuhan yuran peperiksaan nasional bagi pelajar sekolah yang dibiayai pemerintah.

Seorang guru pesara, Encik Morni Sulaiman, 70 tahun, bersyukur pemerintah Singapura peka dengan maklum balas yang disampaikan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam.

"Ia menunjukkan bahawa kalau masyarakat Melayu/Islam ada masalah atau keperluan, mereka boleh ketengahkannya menerusi AP," katanya.

Encik Morni menambah bahawa masyarakat Melayu/Islam juga perlu terus berganding bahu dengan pemerintah untuk menyumbang, baik dalam bentuk kewangan mahupun tenaga, bagi mempertingkatkan lagi madrasah.

"Kami berasa pelajar madrasah sepenuh masa wajar mendapat perhatian."

- Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman, Ketua Jabatan Perkhidmatan dan Komunikasi Korporat Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).

"Ia boleh mendorong anak madrasah bekerja lebih keras tanpa perlu bimbang tentang wang yang perlu dibiayai keluarga mereka." - Encik Noor Isham Sanif, Pengetua Madrasah Al-Irsyad.


This article was first published on March 17, 2015.
Go to beritaharian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.