Pembelajaran dan peluang di era globalisasi

Pembelajaran dan peluang di era globalisasi

PIHAK pemerintah memperkukuhkan dasar-dasar yang ada dan menyediakan pelbagai skim bantuan demi memastikan rakyat Singapura dapat terus dibantu dan disokong dalam mengharungi cabaran kehidupan seharian.

Namun, selain bantuan yang disediakan oleh pihak pemerintah, peranan individu juga amat penting memastikan kejayaan kita sebagai sebuah masyarakat.

Di peringkat sekolah, setiap pelajar harus dapat melihat dan merebut peluang belajar dan mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kebolehan masing-masing, bukan sahaja dalam bidang akademik malah dalam arena sosial, keusahawanan, sukan, atau seni.

Contohnya, projek kemasyarakatan dapat memperkukuhkan nilai-nilai peribadi seperti rasa ihsan, sikap rendah hati dan murah hati.

Pengalaman bekerja pada masa cuti sekolah dapat memupuk disiplin dan sikap bertanggungjawab, sementara penglibatan dalam bidang sukan atau seni pula dapat memastikan keseimbangan pembangunan intelek, kemahiran teknikal dan kemahiran insani.

Peluang pembelajaran itu tidak terhad pada buku atau sumber cetak yang lain, atau di dalam bilik darjah dan daripada guru sahaja.

Peluang interaksi dengan pelbagai individu dalam hidup harian kita juga dapat membantu pembangunan intelek dan peribadi kita - sama ada ketika berinteraksi dengan pak cik yang bekerja sebagai tukang bersih kolong blok di estet perumahan kita, atau jiran yang bekerja sebagai karyawan di firma besar, atau adik saudara kita yang baru berumur lapan tahun.

Setiap di antara mereka ada buah fikiran, pandangan dan pengalaman yang boleh dikongsi dengan kita dan dari mana kita boleh mengambil iktibar dengan sedikit renungan dan muhasabah diri.

Peluang pembelajaran, pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan itu terdapat di pelbagai sudut - bukan sahaja di wadah setempat malah di rantau dan di wadah global. Bak kata pepatah - jauh perjalanan, luas pandangan.

Yang penting, kita harus mempunyai minda yang terbuka, sikap rendah hati, dan tidak berasa segan bertanya atau mencuba. Maklumlah, segan berkayuh, perahu hanyut, bukan?

Kita harus bersikap terbuka mengenai pendidikan dan pembelajaran, dan kita tidak harus menghadkan kepelbagaian ilmu yang boleh diperolehi atau bersikap elitis atau segan terhadap tahap ilmu orang lain.

Contohnya, sebagai pelajar aliran sains, kita tidak harus menganggap ilmu sains sosial atau seni itu kurang berguna kerana ilmu sains sosial atau seni itu kaya dengan nilai kemanusiaan yang dapat mengimbangi ilmu sains yang dipelajari.

Pada masa yang sama, sebagai pelajar sains di peringkat siswazah, kita tidak harus memandang rendah tahap ilmu sains peringkat umum kerana besar kemungkinan ada ilmu atau nilai asas dalam bidang berkenaan yang mungkin masih belum difahami.

PENDIDIKAN DAN PEKERJAAN

Pada masa yang sama kita juga harus akur bahawa pendidikan yang tinggi tidak semestinya menjamin jawatan atau pendapatan yang tinggi, sepanjang hayat.

Baru-baru ini, sebuah rencana di akhbar The New York Times oleh Thomas Friedman (How to Get a Job at Google, 22 Februari 2014) telah berkongsi bahawa keputusan atau gred yang baik tidak semestinya menjadi penentu pekerjaan atau tanggungjawab yang diberikan.

Apa yang dinilai oleh pihak Google, sebuah syarikat antarabangsa yang menjadi buruan ramai anak muda kita apabila mencari peluang bekerja, adalah kebolehan belajar dan bukan setakat kebolehan kognitif sahaja.

Yang dinilai syarikat gergasi itu juga adalah kebolehan kepimpinan yang sedia muncul apabila diperlukan di mana seseorang itu tahu bila kebolehan atau buah fikirannya boleh membantu beliau memimpin dan bila pula masanya seseorang itu harus membenarkan orang lain yang lebih berkebolehan atau yang mempunyai buah fikiran yang lebih baik untuk memimpin.

Antara nilai lain yang diberi kepentingan di syarikat Google adalah sikap rendah hati, dan sikap tanggungjawab dalam menyahut seruan cabaran - walau ia tidak menghasilkan kejayaan atau keputusan yang diharapkan.

Friedman juga menjelaskan bahawa bukan majikan di syarikat Google sahaja, malah semakin ramai pihak majikan yang berpendapat bahawa pendidikan formal di universiti atau kolej hanya dapat memberikan ilmu yang mendalam tetapi tidak semestinya ilmu yang meluas atau relevan seperti yang diperlukan di dunia pekerjaan.

Sebuah rencana lain oleh Friedman di akhbar yang sama (How to Get a Job at Google Part 2, 19 April 2014) pula membentangkan bahawa antara nilai lain yang dihargai syarikat Google dan juga majikan secara amnya adalah kecekalan, terutama dalam mengharungi cabaran.

Contohnya, seseorang siswazah yang setakat mendapat gred B dalam jurusan yang susah baginya telah menunjukkan kecekalan dan tekad yang dapat dihargai, berbanding seseorang siswazah yang mampu mendapat gred A dalam jurusan yang mungkin kurang mencabar atau senang baginya.

Kebolehan analitis, walau dari jurusan apa pun, juga dihargai di syarikat itu kerana ia menunjukkan kebolehan seseorang itu memahami sesuatu masalah atau cabaran dengan jelas dan mencari huraian secara lojik dan berstruktur.

Pendek kata, kita tidak harus bermatlamat hanya memperolehi segulung ijazah, tetapi harus bertekad menajamkan dan mempertingkatkan kemahiran kita, memperolehi nilai dan sikap yang positif dan membangun, dan menimba ilmu yang relevan, apabila bercadang meneruskan pendidikan formal kita.

Yang penting adalah kesedaran bahawa pendidikan yang kita perolehi itu bukan hanya untuk kita mendapatkan pekerjaan pada hari muka, tetapi adalah pembuka jalan bagi kita memahami diri dengan lebih mendalam, menebarkan sayap dan meneroka pelbagai peluang memperkukuhkan kemahiran, kesedaran dan peribadi.

Pendek kata, janganlah kita setakat mencari pekerjaan sahaja, tetapi kita harus mencari peluang supaya sentiasa boleh diambil bekerja.

CABARAN DAN PELUANG MASA DEPAN

Di arena sosial pula, walau kita akur bahawa cabaran sosial di kalangan masyarakat kita masih wujud meskipun kita telah pun mengkecapi perkembangan positif dan menggalakkan, terutama dalam bidang pendidikan, kita tidak harus membenarkan ia menjadi kepercayaan bahawa masyarakat kita masih dibelenggu masalah, masih belum maju dan sukar maju.

Kita tidak harus berpendapat bahawa kita hanya boleh maju setelah setiap segala cabaran hari ini dapat dihuraikan. Ini adalah pemikiran yang sempit dan kurang berwawasan.

Di antara kita yang mampu menebarkan sayap dan terbang jauh, kita harus menggalakkan dan menyokong mereka. Bagi yang memerlukan bantuan mengharungi cabaran seharian, kita harus terus membantu mereka.

Secara peribadi, saya harap masyarakat kita dapat terus mengecapi kejayaan demi kejayaan dalam pelbagai bidang - di Singapura dan di luar tanah air kita - dan terus mengharumkan nama bangsa dan negara kita.

Saya percaya bahawa Singapura adalah sebuah negara di mana peluang itu sedia ada bagi kita mempertingkatkan kemahiran, meneroka pelbagai kemungkinan dan mencapai masa depan yang lebih cerah.

E Nota: Penulis Anggota Parlimen Kawasanundi Perwakilan Kumpulan (GRC) Ang Mo Kio.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.