Penagih dadah Melayu diberkas berkurang

Penagih dadah Melayu diberkas berkurang
Above: The newly-launched Community Rehabilitation Centre - Singapore’'s first housing unit for young male inmates that is located away from the Changi Prison Complex.

SINGAPURA - Bilangan penyalah guna dadah Melayu yang ditangkap berkurangan sebanyak 7 peratus, daripada 1,710 penyalah guna ditangkap pada 2013 kepada 1,586 tahun lalu.

Bagaimanapun, bilangan penyalah guna dadah Melayu baru bertambah 14 peratus, daripada 513 pada 2013 kepada 585 tahun lalu.

Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam kenyataannya semalam berkata pihaknya telah menangkap 3,085 penyalah guna dadah tahun lalu - satu kemerosotan sebanyak 14 peratus berbanding 3,581 penyalah guna yang ditangkap pada 2013.

Bilangan penyalah guna dadah baru yang ditangkap juga berkurang - 1,058 ditangkap tahun lalu berbanding 1,110 pada 2013, kata CNB.

Namun, kadar penyalah guna dadah baru berbanding jumlah keseluruhan penyalah guna dadah di sini meningkat sejak 2013. Dua pertiga penyalah guna dadah baru berusia bawah 30 tahun.

Heroin dan methamphetamine, atau Ice, kekal menjadi dua dadah yang paling biasa diambil, dengan sekitar 92 peratus penyalah guna dadah yang ditangkap mengambil salah satu daripadanya. Ganja atau cannabis pula merupakan dadah ketiga paling biasa digunakan.

Mengulas perangkaan terkini CNB itu, Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar) Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata beliau gembira jumlah keseluruhan penyalah guna dadah terus berkurangan.

Masyarakat, dengan pimpinan badan bantu diri seperti Mendaki dan Angkatan Karyawan Islam (AMP), tidak mengelak daripada masalah itu.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh mudah puas hati. Sementara kemerosotan secara keseluruhan ini menggalakkan, peningkatan penyalah guna Melayu yang baru bererti lebih ramai daripada masyarakat kita mencuba dadah buat kali pertama.

"Banyak lagi usaha boleh dijalankan bagi mengelakkan generasi baru Melayu daripada menjadi hamba dadah," kata Encik Masagos.

Pasukan Petugas mengenai Belia dan Dadah yang dipengerusikannya bersama Menteri Negara (Pendidikan merangkap Perhubungan dan Penerangan) Cik Sim Ann, sedang berusaha mengatasi isu tersebut.

"Kami akan melihat sama ada tindakan atau perubahan segera perlu diambil serta kedudukan jangka panjang kami mengenai isu dadah ini," ujar Encik Masagos.

Dengan perangkaan CNB yang menunjukkan bahawa dua pertiga pesalah dadah baru yang diberkas tahun lalu berusia bawah 30 tahun, Encik Masagos berkata tugas pasukan petugas itu kini lebih penting.

Pasukan petugas itu akan mengumpul maklum balas golongan belia dan dewasa muda tentang usaha pencegahan dadah dan bakal membentangkan saranannya menjelang suku ketiga tahun ini.

Menurut CNB, kebanyakan penyalah guna dadah yang ditangkap hanya mengambil satu jenis dadah. Sekitar 15 peratus (467 penyalah guna) mengambil lebih daripada satu jenis dadah.

Gabungan penggunaan dadah jenis heroin dan methamphetamine merupakan paling biasa di kalangan penyalah guna dadah yang mengambil lebih daripada satu jenis dadah.

CNB telah menjalankan 52 operasi tahun lalu, termasuk 20 operasi serata negara dan menumpaskan 21 sindiket dadah. Operasi yang disokong Pasukan Polis Singapura (SPF) itu menyasar pengedar dadah peringkat pertengahan, pengedar dadah jalanan dan penyalah guna dadah.

CNB juga telah menjalankan 1,747 operasi di pusat pemeriksaan dengan kerjasama Home Team, seperti SPF dan Penguasa Pusat Pemeriksaan dan Immigresen (ICA).

Dadah yang dirampas tahun lalu dianggarkan bernilai $8.14 juta - 60 peratus lebih rendah berbanding 2013.

Ganja yang dirampas meningkat 125 peratus, daripada 15.57 kilogram kepada 35 kilogram; methamphetamine turun 72 peratus (daripada 44.06 kilogram kepada 12.41); 'Ice' meningkat daripada 8.85 kilogram kepada 9.06 kilogram.

Menurut CNB, pendidikan pencegahan dadah terus menjadi tumpuan utama. Ia telah menganjurkan pelbagai acara seperti 'DanceWorks!' dan Kempen Anti-Penyalahgunaan Dadah untuk menyebarkan mesej antidadah.

CNB juga bekerjasama dengan rakan-rakan serantau menangani gejala dadah. Tahun lalu ia menjalankan 19 operasi bersama, termasuk operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Malaysia pada November lalu. Tiga suspek diberkas dan dadah bernilai RM5.2 juta ($1.94 juta) dirampas di Johor Bahru.

Pengarah CNB, Encik Ng Ser Song, berkata adalah penting terus berpegang teguh pada pendekatan tiada toleransi terhadap dadah dan penyalahgunaan dadah demi memastikan anak-anak Singapura membesar dalam sebuah masyarakat bebas dadah.

"CNB menggesa masyarakat supaya terus menyokong kami dalam perjuangan terhadap penyalahgunaan dadah," kata beliau.

ervinamj@sph.com.sg

irmak@sph.com.sg

 


This article was first published on Jan 27, 2015.
Go to beritaharian.sg for more stories.

More about

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.