Penting untuk semua persiap usia senja

Penting untuk semua persiap usia senja

ISU persaraan, dengan keyakinan dan persiapan secukupnya bagi mengharungi usia senja dengan selesa, adalah antara isu penting yang mendapat perhatian semua warga Singapura, bukan masyarakat Melayu/Islam sahaja.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, ketika diminta mengulas mengenai Rapat Hari Kebangsaan yang akan berlangsung lusa.

"Saya rasa memang antara soalan penting bagi masyarakat kita ialah bagaimana kita boleh bersara dengan taraf kehidupan yang kita inginkan.

"Ini salah satu perkara yang sedang difikirkan bukan masyarakat Melayu/- Islam sahaja, bahkan seluruh masyarakat Singapura.

"Ini diharap boleh dijelaskan selanjutnya oleh Perdana Menteri. Begitu juga programme-programme yang boleh dijalankan demi menolong rakyat bersara pada usia senja dengan selesa dan menjalankan kehidupan dengan baik," kata Dr Yaacob.

Beliau berkata demikian di luar sebuah acara anjuran Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) di Perpustakaan Negara semalam.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, akan berucap dalam Rapat Hari Kebangsaan di ITE Kolej Central. Beliau akan menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu dan Mandarin mulai 6.45 petang, sebelum dalam bahasa Inggeris pada 8 malam. Sebelum ini, Encik Lee telah memberi sedikit gambaran tentang isu-isu yang bakal diketengahkan beliau dalam rapat tersebut.

Antaranya ialah usaha pemerintah memastikan rakyat Singapura mempunyai persiapan secukupnya bagi mengharungi masa tua mereka, di samping memberi banyak peluang bagi warga muda mengejar cita-cita mereka.

Beliau juga menyebut mengenai hasrat pemerintah mewujudkan sekitaran kehidupan lebih baik dan membina masa depan lebih baik bagi generasi sekarang dan akan datang Dalam Amanat Hari Kebangsaan beliau Sabtu lalu, Encik Lee berkata Singapura sedang memperbaiki jaringan keselamatan sosialnya dengan perubahan terbaru dilakukan ke atas skim insurans nasional MediShield Hayat. Beliau juga berkata skim Tabung Simpanan Pekerja (CPF) masih boleh diperbaiki dan beliau akan menyentuh soal ini dalam Rapat Hari Kebangsaan.

Dalam belanjawan Februari lalu, pemerintah mengumumkan Pakej Generasi Perintis (PGP) yang antara lain memberi warga perintis potongan 50 peratus bagi bil rawatan di poliklinik dan klinik pesakit luar pakar serta klinik Skim Bantu Kesihatan Masyarakat (CHAS).

Ia juga memberi warga perintis tokokan $200 hingga $800 setiap tahun dalam akaun Medisave mereka.

Selain itu, mereka akan diberi subsidi bagi membiayai premium Medi- Shield Hayat yang bakal dilaksana tahun depan.

Skim insurans itu menyertakan semua warga Singapura, termasuk yang mempunyai penyakit sedia ada, dengan matlamat membantu setiap orang menampung kos perubatan sepanjang hayat mereka.

"Kita tahu bahawa Pakej Generasi Perintis telah dilaksana, MediShield Hayat bakal dijalankan. Namun, kita ada juga beberapa perkara lain, seperti CPF dan sebagainya.

"Bagaimana ini boleh diatur dengan konsisten dengan dua programme tadi agar kita mendapat menyediakan satu pakej yang lebih komprehensif semasa persaraan kita," kata Dr Yaacob semalam.

hishambh@sph.com.sg

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.