Perkuat silaturahim, sepadu elak pecah-belah

Perkuat silaturahim, sepadu elak pecah-belah
PHOTO: Berita Harian

SEMENTARA isu keselamatan negara ditangani oleh agensi relevan, warga Singapura boleh memainkan peranan secara peribadi bagi memastikan bahawa perpaduan masyarakat tidak berpecah-belah.

Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, berkata demikian sebagai mengulas penahanan lapan warga Bangladesh Selasa lepas kepada media selepas sesi perbincangan bersama golongan belia pada malam hari yang sama.

"Di Singapura, sebagai masyarakat Melayu/Islam, kita harus pelihara perpaduan sosial yang ada di sini.

"Kita lihat bagaimana kita boleh berganding bahu dengan masyarakat lain bagi menentukan bahawa apa pun yang telah berlaku tidak akan memecah-belahkan negara kita.

"Ini salah satu perkara yang penting dan harus terus ditekankan," ujar Dr Yaacob yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Lapan warga Bangladesh yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu telah merancang melakukan serangan pengganasan di negara mereka.

Mereka berusia antara 26 dengan 34 tahun dan merupakan sebahagian daripada kumpulan yang dinamakan Negara Islam Bangladesh (ISB).

Dr Yaacob menambah bahawa masyarakat Melayu/Islam perlu "terus memperkuat tali silaturahim dalam masyarakat dan memelihara perpaduan sosial yang kita telah capai buat bertahun-tahun lamanya".

Dalam pada itu, Ketua Pengajian Dasar, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Dr Kumar Ramakrishna, menekankan bahawa masyarakat Singapura tidak harus memulau pekerja asing.

"Sebahagian besar daripada mereka yang datang ke sini semata-mata mahu mendapat kerja dan menyara hidup mereka," jelas Dr Kumar.

Beliau berkata penahanan lapan pekerja Bangladesh itu menunjukkan kerjasama antara Singapura dan pihak berkuasa Bangladesh perlu dipertingkat, lebih-lebih lagi ini kali kedua penahanan dibuat.

"Pendidikan mengenai cara mengesan sebarang kelakuan radikal boleh juga dianjurkan bagi pekerja asing agar mereka dapat berfungsi sebagai 'mata' dan 'telinga' tambahan'," saran Dr Kumar.

Pengasas kumpulan penjagaan susulan antara agensi, Aftercare Group (ACG), Encik Abdul Halim Kader, yang juga Presiden Taman Bacaan, akur dengan pandangan bahawa masyarakat Singapura, tidak kira bangsa, tidak harus meminggirkan pekerja asing.

"Kita harus mendekati mereka terutama semasa waktu lapang mereka; jangan biarkan mereka terasing.

"Saya telah merancang dengan beberapa pihak tertentu bagi memperkenalkan sukan sepak takraw dan bola tampar kepada pekerja asing terutama warga Bangladesh pada minggu-minggu akan datang," ujar Encik Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses).


This article was first published on May 6, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.

Purchase this article for republication.

BRANDED CONTENT

SPONSORED CONTENT

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.