Perlu lebih usaha iktiraf generasi perintis

Perlu lebih usaha iktiraf generasi perintis
“Generasi hari ini merupakan generasi penyambung dan memainkan peranan yang paling penting bagi generasi yang akan datang. Oleh itu, saya berharap mereka dapat terus menghidupkan semangat waja yang dipaparkan generasi perintis.” – Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Shaik Hussain Shaik Yaacob.

PENGIKTIRAFAN golongan perintis memang wajar supaya generasi penyambung dapat mengingati dan mengenang jasa golongan terdahulu terhadap pembangunan negara.

Namun, ada berpendapat lebih banyak yang boleh dilakukan bagi merakam sumbangan generasi perintis agar menjadi tatapan generasi masa depan.

Itulah antara pandangan beberapa individu yang ditemui Berita Harian di majlis perjumpaan Hari Raya Aidilfitri di Hotel Marina Mandarin, Jumaat lalu.

Pakar pendidikan yang juga aktivis sosial, Dr Bibi Jan Mohd Ayyub, 56 tahun, ingin melihat lebih banyak usaha merakam sumbangan golongan perintis dan nilai yang didukung mereka.

"Saya fikir penting sekali bagi kita merakam sejarah dan sumbangan tokoh dan generasi perintis dalam masyarakat sebelum kita terlewat dan terlepas peluang menghargai mereka," ujar Dr Bibi. Jumaat lalu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, menjunjung budi generasi perintis Melayu/Islam.

Beliau mengumumkan beberapa langkah menghargai golongan ini, termasuk beberapa idea yang sedang ditinjau bagi memberi penghormatan kepada Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak. Butirannya akan diumumkan tidak lama lagi.

Selain itu, Madrasah Irsyad akan dinamakan semula sebagai Madrasah Irsyad Zuhri sempena tokoh agama Allahyarham Kiai Haji Ahmad Zuhri Mutammim, yang membantu menubuhkan madrasah itu.

Sempena sambutan ulang tahun Singapura yang ke-50 tahun depan, ada juga usaha menerbitkan sebuah buku bagi merakam hidup dan sumbangan seramai 50 perintis.

Ditemui di majlis tersebut Jumaat lalu, Encik Mohd Ali Saleh, 56 tahun, mengalu-alukan usaha menghargai generasi perintis.

"Kisah mengenai sumbangan dan pengorbanan golongan perintis ini diharap dapat mencetus inspirasi dan perubahan baik dalam masyarakat kita," ujar Encik Mohd Ali, seorang penyelia dalam bidang pengangkutan.

Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Izzuddin Taherally, berkata generasi perintis layak menerima penghormatan dan wajar diiktiraf.

"Sumbangan mereka ini harus diperkenalkan dengan lebih mendalam kepada golongan muda agar ia dapat dijadikan teladan," ujar Encik Izzuddin, 61 tahun. Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Shaik Hussain Shaik Yaacob, 71 tahun, pula berharap generasi masa depan akan menyambung perjuangan generasi perintis.

"Generasi hari ini merupakan generasi penyambung dan memainkan peranan yang paling penting bagi generasi yang akan datang.

"Oleh itu, saya berharap mereka dapat terus menghidupkan semangat waja yang dipaparkan generasi perintis," ujar Ustaz Shaik Hussain.

Usaha menghargai generasi perintis juga disambut baik golongan muda.

Antaranya, Cik Suria Abdul Rahman, 31 tahun, penolong pengurus dalam sebuah syarikat binaan, yang kagum dengan sumbangan golongan perintis.

"Saya fikir ia dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda bagi terus mencapai kecemerlangan dalam membangun negara kita," ujar Cik Suria.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.