Persatuan rancang adakan sesi dengan pihak berkuasa Johor

Persatuan rancang adakan sesi dengan pihak berkuasa Johor

WARGA Singapura yang menetap di Johor kini mengeluh, malah segelintir daripada mereka telah menyuarakan rasa tidak puas hati sejak harga tol dinaikkan kerajaan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Persatuan Kemasyarakatan Prihatin Johor-Singapura (JSCA), Encik Muhammad Mazlan Abdullah, lebih 10 orang telah menyuarakan rasa kurang senang dan mengadu tentang hal tersebut.

Encik Mazlan berkata mereka yang mengadu itu terdiri daripada ahli dan bukan ahli JSCA yang menetap di Johor.

"Mereka telah menyuarakan rasa tidak gembira dan mengadu. Mereka merupakan pemilik hartanah di Johor, ada yang berkata mereka mahu menjual hartanah di Johor, ada pula berkata mereka tidak mahu membeli rumah atau menetap di Johor lagi," kata beliau. Tambahan daripada itu, Encik Mazlan berkata rakan hartanah di Johor juga mendapati pasaran hartanah di sana bagi rakyat Singapura juga semakin lembap.

Ini setelah kerajaan Malaysia menetapkan warga asing hanya boleh membeli hartanah di Johor berharga sekurang-kurangnya RM1 juta ($394,000) dan kadar tol dinaikkan.

Sejak bulan lalu, pemandu kereta perlu membayar tol sebanyak RM9.70 apabila memasuki Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru dan RM6.80 apabila keluar menerusinya.

Sebelum ini, pemandu kereta perlu membayar hanya RM2.90 bagi memasuki Johor dan tiada bayaran dikenakan apabila keluar dari Johor memasuki Singapura.

Oleh itu, JSCA kini merancang mengadakan sesi soal jawab bersama pihak berkuasa Johor bagi memberi maklum balas dan berbincang mengenai bagaimana mereka dapat membantu warga Singapura yang tinggal di Johor.

Ini lebih-lebih lagi setelah kerajaan Malaysia mengumumkan akan memperkenalkan permit masuk kenderaan (VEP) bagi kereta asing yang memasuki negara itu melalui Johor Bahru baru-baru ini.

"Dengan sesi soal jawab itu, kami ingin pihak berkuasa menjelaskan tentang bayaran tol dan VEP serta impaknya ke atas warga Singapura yang menetap di Johor.

"Dengan VEP yang akan diumumkan nanti, akan terdapat lebih banyak rasa tidak puas hati dan ini akan menjejas corak perjalanan, gaya hidup apabila ia dilaksanakan," kata Encik Mazlan.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, JSCA memohon agar "kededua pihak berkuasa Malaysia dan Singapura dapat memulakan dialogue dengan tujuan meraih penyelesaian saling boleh diterima yang dapat memberi manfaat kepada penduduk dan komuter kededua negara".

Penasihat JSCA, Haji Wan Hussin Zoohri, pula berkata warga Singapura yang menetap di Johor harus menerima peraturan baru yang dilaksanakan kerajaan Malaysia walaupun keadaannya kurang menyenangkan.

"Mereka tiada pilihan. Kerana mereka menetap di sana, mereka harus menerimanya walaupun ia kurang senang. Tiada banyak yang boleh kita lakukan kerana ia merupakan dasar pemerintah," kata beliau yang sebelum ini menyewakan rumahnya di Johor tetapi telah menjualnya empat tahun lalu.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.