Pilihan pulangan lebih tinggi bagi CPF dikaji

Pilihan pulangan lebih tinggi bagi CPF dikaji
Timbalan Perdana Menteri, Encik Tharman Shanmugaratnam.

PEMERINTAH sedang mengkaji cara menyediakan pilihan lebih baik bagi pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang berupaya mengambil risiko lebih tinggi agar mereka dapat meraih pulangan tinggi berbanding Skim Pelaburan CPF sekarang, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Tharman Shanmugaratnam, semalam.

Salah satu pilihan ialah membenarkan pencarum menggunakan wang CPF mereka melabur dalam pelan persaraan privet.

Namun, Encik Tharman, yang juga Menteri Kewangan, prihatin tentang pilihan sedemikian, dan berkata ia harus dikaji dengan terperinci dan pencarum harus sedar tentang risiko yang terlibat.

Sedang pelan berisiko tinggi boleh dijangka membawa pulangan tinggi juga dalam jangka panjang, Encik Tharman menarik perhatian bahawa pulangannya mungkin belum dapat dilihat walaupun setelah tempoh menunggu yang lama.

"Cabaran utama ialah bagi pelan persaraan privet menawarkan peluang realistik untuk meraih pulangan lebih baik daripada kadar Akaun Khas CPF.

"Mereka harus bersaing dengan pulangan tetap 4-5 peratus dalam Akaun Khas; pencarum dibenar memindahkan wang daripada Akaun Biasa kepada Akaun Khas mereka untuk meraih pulangan tersebut," kata Encik Tharman.

Beliau berkata demikian dalam satu forum mengenai CPF yang dianjurkan Institut Pengajian Dasar (IPS) di Hotel Shangri-La semalam. Encik Tharman berkata buat masa ini CPF, bersama subsidi pemerintah yang disasarkan pada pencarum CPF berpendapatan rendah dan pertengahan, menyediakan satu asas kukuh bagi masa hadapan. Beliau menambah bahawa pemerintah akan terus mengembangkan sistem itu agar ia sesuai kepada keperluan-keperluan baru.

"Seperti kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, kami ingin menyediakan lebih banyak perlindungan semasa persaraan, terutama bagi rakyat Singapura berpendapatan rendah.

"Kami ingin membantu golongan pesara mendapat keperluan asas mereka meskipun kos sara hidup meningkat masa demi masa. Dan kami ingin membantu warga tua generasi sekarang meraih nilai perumahan mereka. Ini termasuk membantu mereka yang lebih selesa tinggal di rumah mereka sekarang meraih wang tunai daripadanya," kata Encik Tharman.

Oleh itu, pemerintah sedang mengkaji secara serius cara membantu generasi tua Singapura yang kaya aset tetapi miskin wang tunai mendapat hasil tunai daripada perumahan mereka.

Ini kerana dalam fasa permulaan, sistem CPF, yang lebih berupa skim simpanan bagi pemilikan rumah dan bukan untuk persaraan, telah membolehkan lebih 90 peratus warga tua Singapura memiliki rumah.

Namun, ini menjadikan ramai rakyat generasi tua Singapura kini kaya aset tetapi miskin wang tunai.

Dalam satu lagi dialogue dalam forum tersebut, Menteri Tenaga Manusia, Encik Tan Chuan-Jin, berkata pemerintah akan menyemak kadar faedah CPF, dan butirannya akan diumum kelak.

Beliau berkata kadar faedah bagi wang dalam akaun CPF digunakan pemerintah bagi melindungi dana itu daripada inflasi.

"Selain pulangan bagi simpanan CPF anda, ia juga bertujuan menangani beberapa keprihatinan terhadap inflasi.

"Namun, (inflasi) adalah satu keprihatinan yang wujud, dan satu bidang yang sedang kita lihat ialah cara menangani beberapa keprihatinan itu bagi jangka panjang," kata beliau.

Encik Tan juga berkata pemerintah sedang menyemak cara Jumlah Minimum CPF dikira, yang akan menentukan berapa banyak Jumlah Minimum harus dinaikkan bagi disesuaikan dengan inflasi.

Jumlah Minimum CPF sekarang ditambat pada inflasi menggunakan Indeks Harga Pengguna (CPI), dan perubahan dibuat setiap tahun.

hishambh@sph.com.sg

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

More about

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.