PM Lee: Warga sehati rasa prihatin isu Gaza

PM Lee: Warga sehati rasa prihatin isu Gaza

PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata beliau amat gembira melihat masyarakat Islam dan bukan Islam bersatu padu menyokong usaha pemerintah dengan berdoa bagi keamanan dalam dan luar negara.

Ini termasuk mendoakan kesejahteraan di Timur Tengah (TT) dan dalam hal Gaza, menyokong usaha mengumpul dana serta acara kemasyarakatan anjuran masjid dan badan-badan Melayu/Islam setempat.

"Ini menunjukkan bahawa kita prihatin dengan keadaan mereka yang kurang bernasib baik dan yang dilanda bencana tanpa mengira bangsa, agama atau kepercayaan.

"Inilah semangat yang ingin kita tanamkan di kalangan rakyat kita," kata Encik Lee.

Beliau berkata demikian di majlis jamuan malam kawasan undi Teck Ghee bagi meraikan Hari Kebangsaan Singapura ke-49 semalam.

Berucap di hadapan 2,500 penduduk, Encik Lee turut menekankan komitmen pemerintah untuk memberikan rakyat Singapura jaminan dan keyakinan mengenai masa depan negara.

Memberikan sedikit gambaran mengenai isuisu yang akan diketengahkan semasa Rapat Hari Kebangsaan yang akan berlangsung pada 17 Ogos ini, Encik Lee berkata Pemerintah akan memastikan bahawa rakyat Singapura mempunyai persiapan secukupnya bagi mengharungi masa tua mereka selain memberikan banyak peluang kepada rakyat muda untuk mengejar cita-cita mereka.

Encik Lee juga berkata mengenai hasrat pemerintah untuk mewujudkan sekitaran kehidupan yang lebih baik dan membina masa depan yang lebih baik bagi generasi sekarang dan akan datang - isu-isu yang bakal diketengahkan secara lanjut dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaannya nanti.

Bagi penduduk Ang Mo Kio, mereka bakal melihat beberapa peningkatan kepada estet mereka. Encik Lee mengumumkan bahawa Blok 330 hingga 337 Ang Mo Kio Avenue 1 telah dipilih bagi Program Peningkatan Rumah (HIP).

Ini bakal memberi manfaat kepada hampir 1,200 rumah termasuk flat tiga hingga lima bilik. Undian bagi projek itu akan dibuat dalam masa setahun.

Selain membina sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Blok 415 dan di projek bina ikut tempahan (BTO) Teck Ghee Park View, sebuah poliklinik baru juga akan menggantikan poliklinik yang ada sekarang menjelang 2018.

- Hargai sokongan masyarakat hulurkan bantuan

- Beri bayangan sediakan cukup sokongan pada warga dalam Rapat Hari Kebangsaan

hishambh@sph.com.sg


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.