PM: MediShield Hayat buat rakyat lebih terjamin

PM: MediShield Hayat buat rakyat lebih terjamin

MEDISHIELD Hayat ialah satu peningkatan besar kepada jaringan perlindungan sosial Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Menulis di Facebook semalam, Encik Lee berkata dengan adanya skim insurans nasional yang dipertingkat itu, warga Singapura akan berasa lebih terjamin bahawa keperluan perubatan mereka akan dipenuhi.

Encik Lee menekankan lagi bahawa rakyat tidak akan menghadapi masalah membayar premium MediShield Hayat.

"Sumbangan Medisave akan mencukupi untuk membayar premium MediShield Hayat.

"Kementerian Kesihatan (MOH) juga akan memantau kos perubatan dengan dekat," ujar Encik Lee.

Minggu lalu, Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat membentangkan laporan penuh mengenai skim itu, termasuk jumlah premium yang perlu dibayar.

Semua warga, tidak kira keadaan kesihatan dan usia, bakal disertakan dalam MediShield Hayat seumur hidup mereka apabila skim itu dilaksana hujung tahun depan.

Antara manfaatnya ialah warga boleh menuntut insurans lebih tinggi untuk bil hospital yang besar dan rawatan kronik di bawah MediShield Hayat, berbanding MediShield sekarang. Ini bermakna jumlah yang perlu dibayar pesakit bagi bil dan rawatan itu akan berkurangan.

Ditemui media semasa lawatannya ke New York minggu lalu, Encik Lee memberi jaminan bahawa pemerintah akan memastikan premium Medi- Shield Hayat mampu dibayar menerusi Medisave walaupun kos dan premium mungkin berubah-ubah.

Sebelum ini, pemerintah juga telah mengumumkan $4 bilion bagi tempoh lima tahun, antaranya dalam bentuk subsidi bagi golongan gaji rendah dan pertengahan, generasi perintis, serta subsidi peralihan kepada semua warga bagi tempoh empat tahun untuk membantu mereka menyesuaikan diri kepada kenaikan premium.

Tahun depan, warga Singapura rata- rata akan membayar $5 hingga $105 sebulan, setelah mengambil kira subsidi pemerintah.

Kebanyakannya akan membayarnya menerusi akaun Medisave tanpa perlu mengeluarkan wang tunai. Pada 2019, warga Singapura akan membayar $8 hingga $128 sebulan, apabila subsidi peralihan yang diberikan kepada semua warga ditiadakan.

Bagaimanapun, golongan gaji rendah dan pertengahan serta generasi perintis akan terus menerima subsidi selepas empat tahun pertama itu.

Semalam, Encik Lee sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada pengerusi jawatankuasa tersebut, Encik Bobby Chin, dan jawatankuasa tersebut bagi tugas baik yang dilakukan.

Sedang Parlimen bakal membahaskan MediShield Hayat minggu depan, Encik Lee berkata beliau menantikan untuk mendengar pandangan daripada pelbagai kumpulan mengenainya.

adilaham@sph.com.sg

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.