Polis tambah sumber tangani insiden jejas ketenteraman awam

Polis tambah sumber tangani insiden jejas ketenteraman awam
 

POLIS akan menambah sumbernya dan memastikan pegawainya lebih bersedia menangani kejadian besar berhubung ketenteraman awam, kata Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri, Encik Teo Chee Hean.

Sebagai contoh, 300 pegawai akan ditambah di Pasukan Operasi Khas (SOC), sekali gus meningkatkan sebanyak seganda bilangan pegawai barisan depan terlatih dan boleh dikerah mengawal rusuhan.

"Kami akan memulakan usaha menambah pegawai ini dengan segera, dan secara beransur-ansur membangun keupayaannya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," kata Encik Teo.

Beliau berkata demikian di Parlimen semalam ketika membentangkan respons pemerintah kepada laporan Jawatankuasa Siasatan (COI) mengenai rusuhan di Little India Disember lalu, yang dikeluarkan minggu lalu.

Menurutnya, Pasukan Taktikal Polis daripada SOC, yang diletak dalam keadaan siap sedia sepanjang 24 jam, akan ditambah daripada lapan kepada 12 pegawai.

Pegawai tambahan itu akan dilatih untuk dikerah menggunakan "platform lebih ringan dan lebih mudah bergerak".

Bilangan pegawai dalam setiap pasukan juga akan dinaikkan daripada 35 orang kepada 44 orang, dan pegawai akan disediakan dengan peralatan tambahan agar lebih cekap menangani pelbagai situasi dan saiz kumpulan.

Secara keseluruhannya, lebih 1,000 jawatan baru dalam polis telah ditambah untuk menyokong inisiatif baru dan penyiasatan antara 2008 dan tahun ini, kata Encik Teo.

"Lebih 97 peratus daripada jawatan tambahan ini telah diisi. Secara keseluruhannya, polis telah menambah bilangan pegawainya kira-kira 15 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu, daripada sekitar 9,000 kepada sekitar 10,300 pegawai," ujarnya.

Polis akan juga secara berterusan menyemak semula struktur dan proses agar pegawainya boleh dikerah secara lebih berkesan dan produktif.

Ia juga telah meningkatkan syarat pekerjaan dan menawar lebih banyak peluang kepada pegawainya meningkatkan diri dan melanjutkan pelajaran demi menarik dan mengekalkan pegawai baik.

Ia turut menaikkan usia persaraan pegawai beruniform daripada 50 kepada 55 tahun, dan mengambil lebih ramai pegawai bersara bekerja semula.

Lebih ramai pegawai awam juga diambil bekerja untuk peranan khusus, seperti dalam bidang forensik dan jenayah siber, untuk melengkapi peranan pegawai beruniform.

Bagaimanapun, Encik Teo berkata usaha menambah saiz pasukan polis tanpa menjejas mutu ada hadnya.

Ini diakui juga COI itu, yang menarik perhatian bahawa mutu dan bukan hanya jumlah yang perlu menjadi pertimbangan utama dalam menambah bilangan pegawai polis. Polis juga menggunakan lebih banyak kamera bagi mencegah jenayah. Sebagai contoh, lebih 18,000 kamera polis telah dipasang di 3,300 kolong blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan tempat letak kereta, kata Encik Teo.

Semua 10,000 blok HDB akan mempunyai kamera menjelang 2016.

Sejauh ini, kamera polis berkesan dalam menghalang jenayah dan membantu menyiasat, menurut Encik Teo.

Sebagai contoh, bilangan kes gangguan pemiutang tidak berlesen telah merosot lebih daripada 50 peratus berbanding lima tahun lalu.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.