Premium rendah, subsidi besar

Premium rendah, subsidi besar

WARGA Singapura umumnya boleh menjangkakan premium $5 hingga $105 setiap bulan untuk skim insurans nasional MediShield Hayat yang mula dilaksanakan hujung tahun depan.

Namun, sebahagian besar akan membayarnya menerusi Medisave tanpa perlu mengeluarkan wang tunai. Ini setelah mengambil kira subsidi peralihan untuk semua warga selama empat tahun, serta subsidi tambahan untuk golongan bergaji rendah dan pertengahan serta generasi perintis secara tetap.

Secara keseluruhannya, pemerintah memperuntuk $4 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang untuk menyokong MediShield Hayat dalam bentuk subsidi dan pelbagai sokongan kewangan lain.

Pemerintah juga menerima semua saranan Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat (MLRC) yang mengeluarkan laporan penuh mereka semalam.

Awal bulan ini, jawatankuasa itu membentangkan manfaat yang diperluas di bawah MediShield Hayat yang bertujuan memberi perlindungan kepada semua warga sepanjang hayat, dan disasarkan untuk bil hospital tinggi di wad B2 dan C, serta rawatan kronik.

Antara manfaat itu ialah jumlah yang ditanggung MediShield meningkat, manakala jumlah yang dibayar sendiri pesakit berkurangan.

MediShield Hayat akan melindungi semua warga, termasuk yang berpenyakit sedia ada dan tidak mempunyai insurans sebelum ini.

Menyertakan golongan ini ke dalam skim universal itu akan memerlukan kos tambahan kerana mereka dijangka membuat tuntutan insurans lebih tinggi. Justeru, pemerintah akan menanggung tiga suku daripada kos tambahan tersebut dengan memperuntuk $850 juta bagi tempoh lima tahun.

Premium bagi semua warga Singapura akan meningkat sekitar 3 peratus secara purata berbanding skim MediShield sekarang. Golongan yang berpenyakit sedia ada pula perlu membayar premium tambahan 30 peratus selama 10 tahun.

Semua warga akan dimasukkan secara automatik ke dalam MediShield Hayat.

Sementara itu, laporan jawatankuasa tersebut turut mengulas isu Pelan Perlindungan Bersepadu (IP) yang ditawarkan syarikat insurans swasta. Pelan itu mempunyai komponen asas MediShield dan komponen tambahan dengan manfaat lebih luas, seperti wad B1, kelas A atau hospital privet.

Pemerintah bersetuju bekerjasama dengan syarikat insurans untuk menyemak ciri-ciri pelan itu, serta membangunkan sebuah pelan standard yang memberi perlindungan bagi wad kelas B1.

Mengenai kenaikan premium pengerusi jawatankuasa semakan, Encik Bobby Chin, berharap premium itu akan kekal di tahap sama sekurang-kurangnya hingga 2019.

"Namun, seperti MediShield sekarang, premium disemak setiap tiga hingga lima tahun untuk mengambil kira inflasi dan perubahan teknologi perubatan. Apa yang pasti, pemerintah telah memberi komitmen untuk memastikan tiada warga Singapura akan terlepas daripada perlindungan Medi- Shield Hayat," ujar Encik Chin.

Orang ramai yang ingin memberi pandangan mengenai Medi- Shield Hayat boleh mengunjungi laman www.reach.gov.sg/medishieldlife yang ditubuhkan unit maklum balas pemerintah, Reach.

- Premium $5 hingga $105 sebulan

- Boleh dibayar menerusi Medisave

- Jumlah ditanggung MediShield meningkat, dibayar pesakit berkurang

- Lindungi semua, termasuk yang berpenyakit

 

adilaham@sph.com.sg

 

PM Lee: Premium akan sentiasa dimampui

PEMERINTAH akan memastikan rakyat tidak akan menghadapi masalah membayar premium Medishield Hayat, jamin Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Ini meskipun warga Singapura perlu membayar premium insurans lebih tinggi bagi pelan jagaan kesihatan universal itu.

Encik Lee berkata premium Medishield Hayat, yang akan melindungi semua warga Singapura dan menawarkan perlindungan lebih baik bagi bil perubatan besar, akan dapat ditampung menerusi sumbangan Medisave setiap individu.

"Ia merupakan satu ciri yang akan kami kekalkan. Jadi dari masa ke masa, sedang kos berubah, sedang premium berubah, kami akan memastikan bahawa ia (premium) boleh dibayar daripada Medisave dan oleh itu, kemampuan tidak akan menjadi satu isu," kata beliau, semasa bertemu media di New York sebagai menggulung lawatannya ke Amerika Syarikat.

Semalam, Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat telah membentangkan laporan penuh mengenainya, termasuk jumlah premium yang perlu dibayar. Encik Lee turut memuji jawatankuasa tersebut kerana melakukan "kerja baik" dalam menghasilkan "saranan yang sangat kompleks".

"Ia merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam mempertingkatkan jaringan keselamatan sosial kita, dan meyakinkan warga Singapura bahawa mereka akan mempunyai perlindungan lebih baik bagi bil perubatan besar," tambah beliau.

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.