Proses pilih buku disemak

Proses pilih buku disemak
Ms Elaine Ng, 46, chief executive of the National Library Board (NLB).

SINGAPORE - Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) akan mengambil langkah lebih terbuka dalam memperhalusi buku-buku yang mencetuskan kontroversi. Ini termasuk melibatkan panel luar bagi membantu NLB mendapatkan maklum balas serta menimbangkan kesesuaian buku tersebut untuk tatapan umum.

Sementara itu, kededua buku And Tango Makes Three dan The White Swan Express akan dikembalikan semula, tetapi bakal menyertai koleksi buku orang dewasa khusus untuk ibu bapa yang mungkin mahu berkongsi bahan bacaan tersebut dengan anak-anak mereka.

Langkah untuk memperhalusi proses menilai buku dibuat menyusuli penarikan tiga tajuk buku kanakkanak yang berbaur homoseksual, menghapuskan salah satu tajuk naskhah tersebut, sekali gus mencetuskan bantahan beberapa penulis setempat. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NLB, Cik Elaine Ng, dalam sidang media yang diadakan di Perpustakaan Negara semalam akur proses meneliti maklum balas mengenai koleksi buku-bukunya perlu diperbaiki. Cik Ng berkata: "Kami sedar proses yang ada pada masa ini dalam mengkaji maklum balas berhubung buku-buku kami yang perlu diperbaiki. "Oleh itu, kami akan mengambil kesempatan ini untuk menyemak proses melibatkan buku-buku yang berpotensi mencetuskan kontroversi agar ia lebih telus.

"Kami akan melihat contoh-contoh yang terdapat di organisasi lain yang telah memperolehi panel luar lalu membentuk proses yang terbaik untuk kami."

NLB, bagaimanapun, belum membuat keputusan di cawangan mana buku terbabit akan dikembalikan semula dan keputusan itu hanya akan dibuat dalam masa seminggu ini, ujar Cik Ng yang mendedahkan golongan kanak-kanak adalah antara pengunjung utama ke 25 perpustakaan di bawah kendalian NLB.

"Kanak-kanak adalah antara pengunjung utama kami dan semasa membelek buku, mereka biasanya tidak dipantau. Maka dalam usaha NLB memastikan kandungan bahan bacaan itu sesuai mengikut usia, maka kami memutuskan untuk menarik tajuk buku kanakkanak itu.

"Kami memberikan penjagaan khusus untuk bukubuku di bahagian kanak-kanak ini," tambahnya mengenai perpustakaan awam setempat yang secara umum menarik lebih 27 juta pengunjung setahun.

Bagaimanapun, Cik Ng berkata ibu bapa adalah golongan yang harus memutuskan apa yang boleh atau tidak boleh dibaca oleh anak-anak mereka.

Ini boleh dicapai di bahagian dewasa.

Menyentuh tentang penghapusan buku contohnya yang melibatkan Who's In My Family?: All About Our Families, Cik Ng berkata perkataan pulp adalah istilah teknikal dalam industri buku bagi merujuk proses mengkitar semula bahan cetakan dan ia bukan berniat memperkecilkan buku tersebut.

"Ramai yang membantah idea buku-buku itu dipulpa (dihapus). Sebagai pencinta buku, kami memahami reaksi itu. Kami tidak mahu dilihat sebagai pemusnah buku," ujar beliau.

Menyentuh tentang proses pemilihan dan memperolehi buku pula, Cik Ng berkata dengan jumlah buku kanak-kanak yang banyak - yang membentuk separuh daripada koleksi buku di NLB - maka pihaknya biasanya hanya mampu membaca semua sinopsis sahaja. Hanya sebahagian buku sahaja dibaca sepenuhnya oleh kira-kira 200 pustakawan NLB yang melakukannya di samping tugasan mereka yang lain.

Mereka ini, tambah Cik Ng, melakukan yang terbaik di dalam kemampuan mereka memandangkan jumlah buku terbabit agak besar. "Sebagai langkah sementara, (jika ada aduan lain tentang buku yang kontroversi), kami akan membiarkan buat seketika langkah untuk menilai buku tersebut sehingga kami dapat memutuskan proses mengkajinya," kata Cik Ng.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

More about

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.