Pulangan CPF adil dan antara paling selamat di dunia

Pulangan CPF adil dan antara paling selamat di dunia

SKIM Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mungkin tidak menawarkan pulangan tertinggi, namun ia menawarkan pulangan adil dan merupakan salah satu dana persaraan yang paling selamat di dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Tharman Shanmugaratnam, di Parlimen semalam.

Ini kerana selain dijamin pemerintah, kadar faedah CPF ditetapkan berdasarkan pelaburan setanding di pasaran terbuka.

"Pertama, sistem CPF kita adalah berdaya tahan. Ia tidak dibebani liabiliti sehingga boleh membebankan generasi anak-anak kita.

"Kedua , CPF menawarkan fleksibiliti kepada pencarum untuk mengeluarkan simpanan, sesungguhnya ia lebih baik berbanding sistem keselamatan sosial yang lain.

"Ketiga, walaupun skim CPF tidak menawarkan pulangan tertinggi, ia memberi pulangan yang adil dan sudah tentu yang paling selamat di dunia. Hanya beberapa sistem persaraan lain yang menawarkan kadar faedah yang dijamin - 3.5 peratus bagi Akaun Biasa dan 5 peratus bagi Akaun Khas, Medisave dan Persaraan (SMRA) bagi simpanan kecil, yang merangkumi majoriti pencarum, dan 4 peratus bagi simpanan lebih besar," jelas Encik Tharman lagi.

Dalam menentukan kadar faedah, pemerintah telah membuat perbezaan antara tujuan Akaun Biasa dan SMRA.

Oleh kerana simpanan Akaun Biasa boleh dikeluarkan bila-bila masa bagi pembelian perumahan atau pendidikan, dan merupakan "akaun yang mempunyai kecairan", kadar faedahnya ditetapkan berdasarkan simpanan tetap setahun dan kadar simpanan hujung bulan bagi bank-bank utama di sini, jelas Encik Tharman.

Namun, tidak seperti kadar faedah pasaran, CPF membayar kadar minimum 2.5 hingga 3.5 peratus bergantung kepada jumlah simpanan dalam Akaun Biasa.

Menjawab soalan sama ada kadar faedah CPF boleh disandarkan berdasarkan Sekuriti Pemerintah Singapura (SGS) 10 tahun, Encik Tharman berkata kadar faedah bagi Akaun Biasa, berdasarkan deposit pasaran, adalah adil dan menikmati pulangan lebih tinggi berbanding bon pemerintah 10 tahun.

Bagi dana SMRA, kadar faedah ditetapkan 1 peratus lebih tinggi berbanding pulangan bon pemerintah 10 tahun.

Encik Tharman menjelaskan bahawa tambatan terbaik ialah bon pemerintah 30 tahun, tetapi ia tidak ditawarkan apabila kadar faedah SMRA ditetapkan pada 2007.

Ini kerana tempoh 30 tahun merupakan tempoh lumrah bagi wang persaraan jangka panjang yang dilaburkan.

Dalam pada itu, Encik Tharman mengajak pencarum supaya melihat pelbagai cabaran yang dihadapi skim simpanan persaraan di seluruh dunia. Dalam banyak negara membangun, sistem keselamatan sosial kini sukar berdaya tahan.

"Baru-baru ini, pemerintah Australia menyarankan rombakan Skim Pencen Usia, yang merupakan sumber utama pendapatan bagi majoriti pesara warga Australia.

Ini termasuk menaikkan usia pencen daripada 65 tahun kepada 70 tahun," jelas Encik Tharman.

Beliau menyebut 85 peratus skim pencen awam di Amerika Syarikat akan jatuh bankrap dalam tempoh 30 tahun.

Mengenai kadar pulangan pula, Encik Tharman berkata banyak negara yang mengendalikan skim pencen kini mengalihkan risiko kepada individu.

"Namun dalam banyak skim ini, tidak seperti CPF, pekerja harus memilih pelan pelaburan mereka sendiri, dan hadapi risiko pelaburan.

"Secara teori, individu boleh jangkakan pulangan lebih tinggi dengan mengambil risiko. Namun hakikatnya, terdapat bukti bahawa majoriti individu mempamerkan kelakonan lebih buruk berbanding pasaran," ujar Encik Tharman lagi.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.