RRG akan bantu Melayu/Islam fahami erti jihad yang sebenar

RRG akan bantu Melayu/Islam fahami erti jihad yang sebenar
Biskop Gereja Methodist Singapura, Dr Wee Boon Hup, Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Hasbi Hassan, Pengarah SimplyIslam, Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur.

KUMPULAN Pemulihan Keagamaan (RRG) sedang mengatur langkah untuk membantu masyarakat Melayu/Islam memahami erti jihad yang sebenarnya.

Ini kerana ada laungan jihad berhubung konflik di Syria yang tidak menepati ajaran Islam, kata Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Hasbi Hassan.

"Apa yang berlaku di Syria boleh mengancam keselamatan dan keharmonian kita di Singapura sebab ada panggilan untuk jihad yang tidak menepati apa yang Islam anjurkan dan ajarkan.

"Ini boleh menimbulkan salah faham dalam umat Islam itu sendiri dan dalam kalangan orang bukan Islam," ujar Ustaz Hasbi, yang juga Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).

Beliau berkata demikian semasa ditemui media setelah sesi iftar untuk pemimpin pelbagai masyarakat dan agama di Mes Pegawai Kanan Polis di Mount Pleasant Road, semalam.

Awal sebelum iftar itu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah memberi taklimat kepada hadirin mengenai konflik di Syria dan kesannya kepada Singapura.

Untuk menangani masalah Syria, RRG akan memanfaatkan pengalamannya menangani Jemaah Islamiyah (JI) sebelum ini, meskipun beliau akur apa yang berlaku di Syria ini lebih rumit daripada masalah JI, kata Ustaz Hasbi.

"Kami sedang mengatur langkah untuk membantu masyarakat memahami erti jihad yang sebenarnya dan panggilan yang betul menurut pandangan Islam," ujar Ustaz Hasbi.

RRG akan melancarkan satu pusat untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat Islam di Singapura antaranya memberi pendidikan mengenai jihad yang sebenarnya, serta penyelewengan yang dilakukan puak yang bertelagah di Syria.

Melalui pusat ini, RRG akan turut menyebarkan maklumat kepada belia, menerusi media massa dan media sosial.

Selain itu, RRG akan mengadakan forum dan menyebar risalah yang menerangkan apa yang berlaku dan agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan laungan seperti itu.

Ustaz Hasbi juga menasihatkan masyarakat Islam supaya mendapatkan pandangan daripada pakar agama termasuk ulama dan asatizah untuk mendapatkan bimbingan yang sebenarnya.

"Para ulama sendiri telah pun memberi pandangan mereka tentang apa yang berlaku di Syria.

Yang mereka laung-laung sebagai jihad itu bukanlah jihad yang sebenar-benarnya.

"Ulama sama ada di rantau Asia Tenggara mahupun di Timur Tengah telah pun mengeluarkan fatwa mengenai perkara ini," ujar Ustaz Hasbi.

Pengarah urusan pusat pendidikan Islam, Simply- Islam, Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur, menggesa rakyat Singapura supaya menghulurkan bantuan menerusi badan-badan yang diiktiraf, seperti kumpulan Bantuan bagi Pelarian Syria (Asrit).

Asrit terdiri daripada Rangkaian Ekspatriat Muslim (MEX) dan SimplyIslam, dan turut mendapat sokongan daripada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), antara lain.

Baru-baru ini, kumpulan itu mengadakan kunjungan ke Kilis - sebuah bandar kecil dekat sempadan antara Syria dengan bahagian selatan tengah Turkey - bagi menemui mangsa pelarian Syria serta menghulurkan pek bantuan.

"Kami sedang membuka saluran kepada masyarakat Islam di Singapura untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan.

"Kami kini merancang membawa pelajar daripada universiti, politeknik dan madrasah setempat untuk berjumpa sendiri pelarian Syria dan membantu mereka," ujar Encik Nassir.

Beliau berkata sudah tiba masanya bagi suara-suara sederhana yang mewakili Islam diketengahkan. "Masyarakat Islam berperanan memastikan suara kesederhanaan dikemukakan kerana kadangkala ia hilang dalam suara-suara ekstremis dalam media.

"Kini, kami cuba mendapatkan ulama sederhana untuk menonjolkan pandangan mereka dan memanfaatkan media sosial serta media cetak.

"Sekarang ini, tiada atau sedikit sahaja suara yang menerangkan apa sebenarnya yang sedang berlaku dan apakah ia benar-benar berkenaan agama atau satu isu politik sahaja," ujar Encik Nassir.

Tambah beliau, badan Melayu/Islam lain perlu bergabung tenaga dengan RRG untuk menangani isu ini.

Acara taklimat dan iftar semalam turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri; serta Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Encik Teo mendedahkan di Parlimen kelmarin bahawa beberapa warga Singapura telah ke Syria untuk menyertai konflik di sana, dengan ada yang membawa keluarga mereka.


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

More about

Purchase this article for republication.

BRANDINSIDER

SPONSORED

Most Read

Your daily good stuff - AsiaOne stories delivered straight to your inbox
By signing up, you agree to our Privacy policy and Terms and Conditions.