RRG edar risalah jelaskan kekeliruan konsep khilafah ISIS

RRG edar risalah jelaskan kekeliruan konsep khilafah ISIS

KUMPULAN Pemulihan Keagamaan (RRG) akan mengedarkan satu risalah khas di masjid-masjid hari ini untuk menjelaskan kekeliruan di sebalik khilafah Islam kumpulan militan ISIS.

Selain itu, RRG akan melancarkan video pertamanya dalam talian mengenai ISIS.

Setiausaha RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata kedua-dua inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha RRG untuk melawan propaganda IS.

Risalah bertajuk The Fallacies of ISIS Islamic Caliphate atau Kekeliruan Khilafah Islam ISIS itu memberi pengenalan tentang ISIS, tarikannya serta konsep khilafah.

"Risalah itu diharapkan dapat memberi penjelasan tentang isu ini supaya orang ramai lebih faham tentang ISIS," ujar Ustaz Dr Mohamed, yang juga penolong profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

ISIS telah mengisytiharkan pembetukan khilafah dalam kawasan yang dikuasainya serta Abu Bakr al-Baghdadi sebagai khalifahnya.

Majoriti pemimpin negara, ulama, cerdik pandai, aktivis masyarakat dan badan Islam di seluruh dunia telah menunjukkan reaksi menolak IS.

Para ulama berpendapat pembentukan khilafah dan pengumuman al-Baghdadi sebagai khalifah tidak sah kerana ia tidak melalui proses yang ditentukan oleh syariah.

"ISIS mendakwa matlamatnya adalah menubuhkan negara Islam tetapi jika kita lihat lebih dalam lagi, ia merupakan satu helah yang mudah untuk menarik orang Islam yang tidak tahu-menahu agar menyokong perjuangan ganas mereka.

"Mereka sekadar sebuah entiti militan yang memperjuangkan bukan untuk agama tetapi untuk aspirasi wilayah dan politik mereka," ujar Ustaz Dr Mohamed.

Risalah setebal 12 muka surat itu turut mengupas ciri-ciri khilafah Islam, apakah ISIS benar-benar menghidupkan sistem pemerintahan Islam, serta hadis Rasulullah saw mengenai timbulnya kumpulan berfikiran pelampau satu masa nanti.

"Apa yang penting sekarang adalah orang ramai tidak dipengaruhi pelbagai idea dan propaganda ISIS yang mereka uar-uarkan, di Internet, media sosial, mahupun wadah lain.

"ISIS tidak mewakili Muslim dan Islam.

Ia kumpulan pengganas," ujar Ustaz Dr Mohamed.

Risalah tersebut juga menasihati masyarakat Islam cara terbaik untuk membantu mangsa yang terjejas daripada konflik di Syria.

Mereka yang mempunyai soalan mengenai pelampauan dalam agama pula boleh ke Pusat Sumber dan Kaunseling RRG di Masjid Khadijah di 583 Geylang Road.

Mereka juga boleh menyusuri laman www.rrg.sg atau laman Facebook RRG.

Hari ini, Pusat Sumber dan Kaunseling RRG di Masjid Khadijah akan dikunjungi Menteri Ehwal Luar Amiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah Bin Zayed Al Nahyan, yang berada di Singapura bagi satu lawatan kerja.

adlilaham@sph.com.sg

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.