RRG Jauhari tahun ini

RRG Jauhari tahun ini

TABAH menghadapi kritikan kerana yakin pada apa yang diperjuangkan hingga akhirnya bakti yang ditabur membawa manfaat meluas lagi mendalam, bukan kepada masyarakat Melayu/Islam sahaja, malah seluruh negara.

Bahkan, perjuangan yang dirintis mereka kian mendapat perhatian sedunia serta menjadi contoh bagi kerja pemulihan dalam usaha dunia memerangi pengganasan dan ideologi ekstrem.

Berasaskan sumbangan besar dan penting ini, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) semalam ditabal sebagai Jauhari Melayu/Islam tahun ini - mencipta sejarah menjadi pertubuhan pertama diberi anugerah berprestij yang dikeluarkan Berita Harian itu.

Pengerusi bersama RRG - Ustaz Ali Haji Mohamed dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan - menerima anugerah tersebut daripada tetamu terhormat, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dalam majlis penyampaian di Hotel Shangri-La malam tadi.

Turut disampaikan semalam ialah Anugerah Jauhari Harapan kepada pendayung negara, Cik Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa'ee, pemenang pingat emas dalam Sukan SEA di Myanmar tahun lalu.

Anugerah Jauhari, yang diberi sejak 1999, mengiktiraf pencapaian dan sumbangan cemerlang anggota masyarakat Melayu/Islam dalam pelbagai bidang. Mulai tahun ini, anugerah tersebut turut dibuka kepada pertubuhan Melayu/Islam tempatan. Anugerah Jauhari Harapan pula diperkenal Berita Harian tahun lalu bagi mengiktiraf pencapaian dan potensi individu Melayu/Islam berusia 30 tahun ke bawah.

RRG dibentuk lebih sedekad lalu untuk memberi kaunseling kepada tahanan Jemaah Islamiyah (JI) yang telah merancang serangan bom ke atas beberapa sasaran di Singapura.

Dianggotai lebih 30 asatizah, kumpulan itu turut menyediakan sokongan kepada keluarga tahanan dan aktif mendekati masyarakat Islam dan bukan Islam menerusi seminar, forum dan penerbitan.

Ia juga mempunyai laman web dan baru-baru ini melancarkan pusat sumbernya di Masjid Khadijah. Usaha RRG membantu memulihkan tahanan dan memerangi ideologi ekstrem sambil menyerlahkan nilai-nilai sejati Islam dan sejagat mendapat perhatian dunia. Relawan RRG sering dijemput berkongsi pengalaman mereka di persidangan antarabangsa.

Berucap bagi pihak RRG semalam, Ustaz Ali, yang juga pengerusi Masjid Khadijah, berkata dua perkara mendorong RRG dan relawannya untuk terus bertahan sejak kumpulan itu dibentuk secara rasmi pada 2003 - yakin pada perjuangan mereka dan niat.

"Kami percaya bahawa isu ideologi agama ekstrem perlu ditangani dan asatizah kita memainkan peranan penting dalam memerangi pandangan ekstrem serta menggalak keharmonian agama dan keamanan di Singapura.

"Anggota RRG merendah hati dalam melaksanakan niat kami untuk menangani salah faham mengenai Islam dan membantu mereka yang tersesat jalan kembali kepada pemahaman sebenar Islam," ujar beliau kepada lebih 300 tetamu yang terdiri daripada pemimpin negara dan masyarakat serta tokoh Melayu/Islam dalam majlis semalam.

Mengenai cabaran RRG pada masa-masa mendatang, Ustaz Ali berkata meskipun ancaman pengganasan serantau nampaknya semakin pudar, pengaruh media sosial dan Internet mencetuskan satu ancaman baru.

"Fahaman ganas dan ideologi tegar luas tersebar dalam media social dan Internet. Dalam mengharungi cabaran-cabaran ini, RRG perlu bekerjasama dengan setiap lapisan masyarakat Islam dan bukan Islam bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang menghargai nilai keamanan dan kedamaian," ujar beliau.

Sementara itu, sebagai penerima Anugerah Jauhari Harapan, Cik Aisyah, 26 tahun, menerima sebuah trofi wang tunai $5,000 sumbangan Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS).

Kejayaan beliau di Sukan SEA ke-27 itu - pingat emas pertama Singapura dalam sukan mendayung sejak 1997 - turut meningkatkan profil sukan tersebut di Singapura.

Dalam ucapannya semasa menerima anugerah itu, Cik Aisyah antara lain berkata beliau amat terharu dan berterima kasih diberi penghormatan dan pengiktirafan itu.

"Ia menguatkan lagi semangat saya untuk berlatih bersungguh-sungguh bagi mengharumkan nama negara dalam sukan mendayung," kata beliau.

mhadi@sph.com.sg

 


Get a copy of Berita Harian or go to BeritaHarian.sg for more stories.

This website is best viewed using the latest versions of web browsers.